My Add

Saturday 21 June 2014

Enam parah bas rempuh treler

Oleh ZULHISHAM ISAHAK

 * BAHAGIAN hadapan bas remuk setelah terlibat dalam kemalangan di Kilometer 48.2 arah selatan laluan Bukit Gambir-Pagoh di Lebuh Raya Utara Selatan dekat, Muar, Johor, semalam.
MUAR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Kegembiraan 38 murid dan empat guru Sekolah Kebangsaan Parit Raja, Batu Pahat, mengikuti satu rombongan ke Kuala Lumpur bertukar tragedi apabila bas dinaiki merempuh belakang sebuah treler ketika dalam perjalanan pulang di Lebuh Raya Utara-Selatan di sini awal pagi ini.

Berikutan kejadian pada pukul 1.15 pagi di Kilometer 48.2, arah selatan di laluan Bukit Gambir-Pagoh itu, enam orang cedera parah dan empat lagi cedera ringan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob memberitahu, mereka yang cedera parah ialah pemandu bas tersebut yang berusia 40-an serta seorang murid berusia sembilan tahun yang patah kaki manakala seorang guru berusia 37 tahun patah tangannya.

"Tiga lagi yang cedera parah pada kepala terdiri daripada dua orang guru berusia 32 dan 45 tahun serta seorang murid berusia tujuh tahun. Empat orang yang cedera ringan kesemuanya murid berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

"Kesemua guru wanita dan murid perempuan itu dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk rawatan kecemasan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azman memberitahu, siasatan awal pihaknya mendapati bas berkenaan cuba memotong treler berkenaan di hadapannya tetapi terkejut apabila melihat sebuah kereta yang muncul di belakangnya lalu memasuki semula laluan dan merempuh kenderaan berat itu.

Dalam pada itu, kemalangan yang berlaku beberapa kilometer dari Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh tersebut telah mengakibatkan laluan berkenaan sesak selama hampir satu jam.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir, A. Hamid Awaludin berkata, seramai enam anggotanya yang turut dibantu lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ledang bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian pada pukul 1.34 pagi.

"Tindakan pantas kita, berjaya mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap dalam masa 20 minit meskipun terperangkap dalam kenderaan yang remuk. Mereka yang terselamat dibantu orang awam untuk keluar dan menaiki sebuah lagi bas rombongan itu yang dinaiki seramai 37 guru dan murid lelaki," katanya.

Pemandu treler membawa muatan tin susu, Mohd. Yunus Abd. Satar, 36, berkata, semasa kejadian dia berada di lorong kiri di kawasan berbukit sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat dari arah belakang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment