My Add

Thursday 5 June 2014

Ejen pekerja asing direman tujuh hari bantu siasatan kes bunuh bayi

 * SUSPEK kes bunuh bayi yang ditemui di Jalan Genting Highland dibawa ke Mahkamah Majistret Klang, semalam untuk mendapatkan perintah tahan reman.
SHAH ALAM, RABU 04 Jun, 2014: Seorang ejen pekerja asing direman tujuh hari mulai hari ini oleh Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kes bunuh seorang bayi berusia enam bulan yang dicampakkan ke gaung di jalan menuju ke Genting Highlands, minggu lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Syahida Zainal mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Lelaki berusia 41 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Suspek yang memakai baju penjara berwarna jingga dibawa ke Kompleks Mahkamah di sini pada pukul 3.45 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supritendan Roslan Abdullah berkata, bayi tersebut dipercayai merupakan anak luar nikah kepada salah seorang pembantu rumah di agensi pekerja asing milik suspek.

Suspek dipercayai memberitahu ibu bayi berkenaan yang anaknya meninggal dunia di asrama pekerja di Kota Kemuning pada Sabtu lalu.

Laporan polis dibuat oleh ibu bayi selepas suspek menghilangkan diri dan pihak polis kemudian berjaya menahan suspek dan isterinya di sini semalam.

Ketika siasatan, suspek mengaku membungkus mayat bayi itu di dalam plastik, menyimpannya di dalam bagasi dan membuang bayi di Kilometer 3.2, Jalan Genting Highlands.

Operasi mencari mayat bayi dimulakan pada pukul 9 pagi ini dan polis berjaya menemukan mayat bayi itu pada pukul 11 pagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment