My Add

Tuesday 17 June 2014

Empat warga Myanmar maut

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
 
 *  CHE Mohd. Azuwan Che Hashim yang menjadi pemandu kereta membawa 10 warga Myanmar tanpa pengenalan diri, cedera dan dirawat di di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh, semalam. - UTUSAN/LOKMAN HAKIM
TEMERLOH, ISNIN 16 Jun, 2014: Tidak dapat dibayangkan bagaimana sebuah kereta jenis Honda Accord boleh membawa seramai 11 penumpang dalam satu masa.

Tetapi perkara itu berlaku apabila seorang lelaki warga tempatan yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan nekad membawa 10 orang warga Myanmar menaiki Honda Accord miliknya.

Malah dalam keadaan berhimpit-himpit itu, Che Mohd. Azuwan Che Hashim, 30, berjaya menempuh perjalanan lebih 500 kilometer dari Rantau Panjang, Kelantan.

Bagaimanapun, tindakan Che Mohd. Azuwan itu membawa padah apabila empat daripada warga Myanmar tersebut maut selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum melanggar tebing di Kilometer 134.2, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berdekatan susur keluar Plaza Tol Chenor dekat sini awal pagi ini.

Kejadian pukul 4.30 pagi itu turut menyebabkan Che Mohd. Azuwan serta dua lagi warga Myanmar tersebut cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshah) di sini.

Empat lagi warga Myanmar yang cedera ringan dibenarkan keluar hospital dan ditahan polis untuk siasatan lanjut.

Identiti kesemua warga Myanmar berumur lingkungan 30-an hingga 40-an itu termasuk yang maut setakat ini belum dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen ditemui pada mereka.

Difahamkan, tempat duduk belakang kereta Honda Accord berwarna hitam itu diubah suai semata-mata mahu menyumbat lapan warga Myanmar manakala dua lagi di bahagian depan sebelah pemandu.

Selain itu, kenderaan tersebut juga memasang cermin gelap dan

tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Anuar Othman berkata, kejadian berlaku ketika kereta yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Rantau Panjang, Kelantan ke Kuala Lumpur.

"Sampai di tempat kejadian kereta tersebut dipercayai hilang kawalan menyebabkannya terbabas sebelum melanggar tebing bukit.

"Ini menyebabkan empat warga Myanmar tersebut maut di tempat kejadian akibat tercampak keluar dari kenderaan itu.

"Mangsa yang cedera serta tersepit dikeluarkan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta kakitangan peronda LPT yang tiba 15 minit kemudian," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, semua mangsa yang maut adalah warga Mynmar namun setakat ini identiti mereka belum dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau pasport ditemui.

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati pemandu kereta tersebut mempunyai rekod jenayah lampau iaitu memiliki barangan curi pada 2003.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kemungkinan berlaku aktiviti jenayah pemerdagangan manusia dalam kejadian tersebut.

"Namun kita masih menunggu pemandu tersebut sedar berikutan keadaannya yang agak parah. Selepas kita soal dia, barulah kita akan tahu apa yang berlaku.

"Ingin saya nyatakan bahawa setakat ini tiada maklumat yang menyatakan bahawa LPT merupakan laluan utama aktiviti pemerdagangan manusia sebab banyak lagi laluan yang boleh digunakan oleh sindiket ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment