My Add

Tuesday 17 June 2014

Rompakan atau seludup?

Oleh Zulkiflee Bakar dan Siti Rohaizah Zainal

KUALA LUMPUR, ISNIN 16 Jun, 2014: Peristiwa rompakan kapal tangki MT Ai Maru yang dalam perjalanan dari Singapura ke Kemboja di perairan Tanjung Sedili, Johor lalu mencetuskan pelbagai persoalan berhubung kejadian tersebut.

Ini termasuklah benarkah 700,000 liter minyak yang dirompak diambil dari Pangkalan Tuas, Singapura.

Malah satu sumber mempersoalkan, kalau benarkah ia diambil dari pangkalan tersebut kenapakah kapal itu perlu melalui perairan Malaysia.

"Ini memandangkan semua kapal yang berlepas dari Singapura perlu melalui kawasan perairan sendiri melalui apa yang dipanggil Skim Pemisahan Trafik (TSS), jadi macam mana ia boleh berada di perairan kita ketika kejadian berlaku,'' kata sumber tersebut.

Oleh itu sumber berkenaan meragui sama ada minyak diesel yang dirompak benar-benar dari Singapura atau diseludup dari negara ini.

"Pihak berkuasa Malaysia perlu menyiasat kesahihan dokumen yang dibawa kapal tersebut memandangkan kapal ini merupakan enam kapal yang pernah diperiksa dalam serbuan di perairan Pulau Lima pada Mei lalu.

"Ketika itu kita tidak boleh membuat siasatan lanjut memandangkan kapal tersebut didakwa mengalami kerosakan walaupun terdapat bau minyak diesel yang kuat," katanya.

Sumber itu menjelaskan, pihak berkuasa juga perlu menyiasat sama ada benar atau tidak kapal itu dirompak memandangkan jumlah minyak yang diambil menimbulkan keraguan.

Kapal itu, menurut sumber tersebut mampu memuatkan tiga juta liter minyak diesel dalam satu-satu masa dan agak menghairankan lanun hanya mengambil 700,000 liter sahaja.

"Tambahan pula untuk memindah 700,000 liter minyak dari sebuah kapal ke kapal yang lain ia memerlukan masa sekurang-kurangnya dua jam.

"Persoalannya apakah dalam tempoh itu ia langsung tidak disedari oleh pihak berkuasa Malaysia sedangkan kita difahamkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mempunyai kapasiti radar untuk mengesan pergerakan kapal di seluruh perairan negara.

"Maknanya jika benar rompakan berlaku, perkara itu pasti disedari oleh Maritim Malaysia memandangkan imej dalam radar akan menunjukkan ada dua kapal berada sebelah menyebelah - satu pergerakan yang tidak dibenarkan sama sekali mengikut undang-undang," katanya.

Oleh itu, sumber berkata, pihak berkuasa Malaysia perlu menjalankan siasatan rapi berhubung kejadian yang didakwa rompakan oleh lanun itu bagi mengelakkan sebarang kerugian kepada negara khususnya dari segi penyeludupan diesel - UTUSAN

No comments:

Post a Comment