My Add

Saturday 21 June 2014

Hubungan kami amat baik - PM

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

PUTRAJAYA, JUMAAT 20 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan laporan media sosial kononnya timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berundur daripada Kabinet sebagai 'rekaan politik' pihak tertentu.

Perdana Menteri turut menegaskan, beliau mempunyai hubungan dan persefahaman yang amat baik dengan Muhyiddin.

''Sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau sentiasa mendukung dan telah menjayakan segala dasar dan agenda pembangunan nasional terutama yang berkaitan dengan rancangan transformasi negara yang dibawa oleh saya,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Najib, sebagai Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) pula, Muhyiddin sentiasa bersama-samanya dalam segala usaha memperkukuh dan memantapkan perjuangan UMNO dan BN.

Semua itu, katanya, merupakan satu usaha berterusan dan masih banyak yang perlu dilakukan oleh beliau dengan bantuan Muhyiddin.

''Dengan adanya hubungan dan persefahaman yang amat penting antara saya dengan Tan Sri Muhyiddin, saya yakin kita dapat menghadapi segala cabaran untuk membangunkan negara seterusnya meningkatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kepemimpinan kerajaan BN,'' katanya.

Semalam, Muhyiddin menafikan khabar angin beliau akan berundur dalam waktu terdekat dan akan meneruskan perkhidmatannya berdasarkan kemampuan serta kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment