My Add

Monday 16 June 2014

FGV sasar antara syarikat agro utama dunia

RAUB, AHAD 15 Jun, 2014: Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) menyasarkan untuk menjadi antara syarikat agro perniagaan utama dikenali dunia menjelang satu dekad akan datang.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, syarikat itu sedang menyusun strategi termasuk meluaskan perniagaan ke luar negara melalui sektor huluan dan hiliran.

Menurutnya, antara kejayaan yang melonjakkan FGV di pentas antarabangsa adalah pelancaran Twin Rivers Technologies-ETGO (TRT-ETGO) di Quebec, Kanada dengan menumpukan kepada operasi memproses minyak soya dan minyak kanola bagi pasaran Amerika Utara serta benua Eropah.

"Kilang ini yang memproses bahan mentah mengeluarkan minyak soya serta kanola sehingga 1,200 tan metrik sehari dan bakal memasarkan minyak masak jenama Adela di Kanada pada penghujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Harmoni Felda Kreativiti Ceria Anda di Felda Tersang Satu, dekat sini semalam.

Menurut beliau,syarikat itu juga membuka kompleks kilang Twin Rivers Technologies Holdings (TRTH) di Quincy, Massachussetts, Amerika Syarikat (AS) sebagai salah sebuah syarikat pengeluar produk oleokimia terbesar di rantau Amerika Utara setelah diambil alih oleh FGV pada November 2007.

Katanya, FGV Cambridge Nanosystems Ltd. (FGV-CNS) yang beroperasi di Cambridge, United Kingdom (UK) pula berjaya melakar inovasi menghasilkan bahan nano karbon berkualiti tinggi dengan menggunakan metana dan bahan-bahan lain yang terhasil daripada proses melibatkan minyak kelapa sawit.

"Kilang ini bakal menghasilkan nano karbon seperti graphene dan tiub nano karbon terbesar di dunia sebaik sahaja pembinaan kilang berteknologi tinggi itu antara yang menjadi kebanggaan Felda dalam bidang berkenaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment