My Add

Monday 16 June 2014

MAHB diselar tak beri peluang peniaga bumiputera

 * IBRAHIM Ali (tiga dari kanan) menyampaikan watikah pelantikan kepada wakil Perkasa Parlimen Tuaran di Kota Kinabalu, semalam.
TUARAN, AHAD 15 Jun, 2014: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyelar tindakan Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) yang tidak memberi keutamaan kepada syarikat bumiputera untuk menjalankan perniagaan di lapangan terbang terbaharu klia2 yang beroperasi sejak 2 Mei lalu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali amat kesal dengan sikap seumpama itu yang masih berlaku di negara ini sedangkan kerajaan sangat menggalakkan penyertaan bumiputera dalam sektor perniagaan.

Menurutnya, kegagalan MAHB memberi peluang kepada golongan bumiputera untuk berniaga di lapangan terbang tersebut sekiranya atas alasan tiada pengalaman, merupakan satu pembohongan besar yang cuba ditampilkan oleh pihak pengurusan tersebut.

Sehubungan itu, Perkasa mendesak pengurusan tertinggi MAHB memberi penjelasan berhubung perkara tersebut serta tidak bertindak berdiam diri selain menyatakan peratusan atau jumlah peniaga bumiputera yang dapat berniaga di klia2.

"Perkasa berasa sangat kesal kerana perkara seumpama ini tidak patut berlaku kepada pengusaha bumiputera di negara ini. Golongan peniaga bumiputera sepatutnya diberi keutamaan memandangkan MAHB adalah syarikat milik kerajaan.

"Saya secara peribadi turut mendesak Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif MAHB memberi penjelasan berhubung perkara ini. Mereka perlu bertanggungjawab serta bersedia meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugas dengan sempurna," katanya selepas majlis pelancaran dan penyerahan watikah pelantikan kepada pimpinan Perkasa bagi Parlimen Tuaran, di sini hari ini.

Jelasnya, tindakan MAHB bercanggah dengan harapan golongan bumiputera yang ingin melangkah lebih jauh dalam bidang perniagaan, malah bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk melihat golongan usahawan bumiputera berkembang maju di negara ini.

Katanya, perbuatan menolak permohonan daripada beberapa buah syarikat bumiputera yang telah mengadakan beberapa perbincangan sebelum ini dan mempunyai rekod perniagaan yang kukuh di negara ini merupakan satu tindakan yang dangkal.

"Sekiranya faktor pengalaman dijadikan alasan, saya dengan tegas ingin menyatakan perkara itu satu pembohongan besar yang cuba dilakukan oleh MAHB kerana salah sebuah syarikat bumiputera, Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) sangat berpengalaman luas tetapi tidak diberi peluang untuk berniaga di situ," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment