My Add

Monday 16 June 2014

Peneroka perlu pertahan Felda

Oleh M. RIZAL NOR

 * MOHD. Isa Abdul Samad (dua dari kanan) beramah mesra dengan peneroka pada Program Harmoni Felda Kreativiti Ceria Anda di Felda Tersang 1, Raub, Pahang, kelmarin. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
RAUB, AHAD 15 Jun, 2014: Semua peneroka di tanah rancangan perlu mempertahankan Felda supaya tidak diganggu oleh pihak yang ingin melihat berlakunya perpecahan antara mereka demi kepentingan generasi akan datang.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, mereka perlu meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada agensi itu dan mengelak daripada terpengaruh dengan pelbagai fitnah yang ditaburkan oleh pihak tertentu.

Menurutnya, perpecahan warga Felda semakin ketara terutama dalam kalangan masyarakat Melayu ekoran mempunyai berlainan fahaman parti politik sehingga meruntuhkan perpaduan yang dipupuk sebelum ini.

"Ada pihak cuba meracuni fikiran peneroka dengan pelbagai isu semasa melibatkan agenda dilaksanakan oleh kerajaan seperti isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kononnya akan membebankan rakyat terutama kenaikan harga barang.

"Kita belum laksanakan GST tapi harga barang sentiasa naik dan tidak pernah turun, jadi kenapa hendak menuduh kerajaan menggunakan GST untuk menaikkan harga barang sedangkan apa kerajaan buat untuk kebaikan seluruh rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Laman Harmoni 1Malaysia di Felda Tersang 1, Mempaga di sini semalam.

Mohd. Isa berkata, Felda kini sudah berusia lebih 57 tahun dan mengecapi pelbagai kejayaan tanpa mengabaikan kebajikan peneroka yang menjadi tulang belakang kepada tanah rancangan itu.

"Bagi memastikan Felda terus maju ke hadapan, kita akan meningkatkan keupayaan kilang-kilang secara berperingkat dengan menggantikan alatan baharu bagi memastikan pengeluaran minyak sawit bertambah baik serta memberi keuntungan," ujarnya.

Beliau memberitahu, Felda akan mempertingkatkan industri hiliran di semua tanah rancangan untuk menjana pendapatan dan ekonomi generasi kedua.

Dalam pada itu, Mohd. Isa berkata, Laman Harmoni 1Malaysia dibina untuk menyerikan wajah tanah rancangan Felda di seluruh negara dengan menyediakan kemudahan asas serta riadah kepada peneroka.

"Kita sediakan kemudahan taman permainan kanak-kanak dan stesen senaman sebagai tempat riadah di samping mewujudkan sebuah kawasan alternatif untuk mengeratkan hubungan sesama peneroka tanpa mengira peringkat usia," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment