My Add

Friday 6 June 2014

Francis Yeoh mohon maaf

Oleh NUR HANANI AZMAN
 
 FRANCIS Yeoh
KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2014: Pengarah Urusan Kumpulan YTL Corp. Bhd., (YTL) Tan Sri Dr. Francis Yeoh berkata, artikel mengenai kapitalisme kroni telah dipetik melalui gambaran yang salah dan beliau memohon maaf jika kenyataan beliau dalam artikel itu menyinggung dan memberi kesan kepada manamana pihak.

Beliau turut melahirkan rasa sedih kerana ayat yang diucapkan pada majlis Bual Bicara Global Siri Malaysia kali ketujuh baru-baru ini telah disalah tafsir seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita bahasa Inggeris, kelmarin.

Francis yang turut merujuk kepada artikel Utusan Malaysia Francis Yeoh dibidas pada hari ini berkata, tidak ada niat untuk menyakitkan hati sesiapa.

"Saya amat sedih kerana katakata saya telah disalah tafsir. Bagaimanapun dengan rendah hati saya memohon maaf jika kenyataan yang disalah tafsir itu memberi kesan. Saya sangat menyesal," katanya yang menghubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk Francis Yeoh dibidas hasil daripada reaksi oleh Kesatuan PegawaiPegawai Rendah Tenaga Nasional Bhd. (KPPRTNB) mengenai isu kapitalisme kroni.

Presiden KPPRTNB, Mohd. Roszeli Majid yang diminta pendapatnya tentang isu itu, mengingatkan supaya YTL tidak bersikap angkuh dan tamak sehingga melupakan budi kerajaan yang memberikan syarikat itu perniagaan dan kemewahan.

Kelmarin, sebuah portal berbahasa Inggeris juga menyiarkan artikel bertajuk Crony Capitalism in Malaysia has to go, son of YTL founder says yang disifatkan oleh Francis dipetik dalam gambaran yang salah.

Francis pada masa yang sama mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dan berkata, beliau menerima jemputan untuk bercakap pada majlis yang dianjurkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

"Pada mulanya saya difahamkan tujuan forum itu adalah untuk bercakap secara spontan dan telus kepada peserta dan jika mempunyai peluang, bercakap untuk menjelaskan persepsi yang salah dalam menjalankan perniagaan di Malaysia dan global.

"Saya selalu tertarik dengan Program Transformasi Ekonomi (ETP) diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan program itu disampaikan secara telus menerusi Pemandu," katanya.

Ujarnya, beliau ketika itu diminta mengulas terhadap salah tanggapan mengenai amalan kapitalisme kroni di Malaysia yang diajukan secara berterusan oleh peserta.

"Ketika ditanya sama ada saya adalah 'kroni' Tun Dr. Mahathir yang telah menganugerahkan YTL dengan konsesi penjana tenaga bebas (IPP), saya menyatakan bahawa saya bukan kroni beliau.

"Semua perkara yang kami lakukan adalah dengan memperkenalkan idea inovatif untuk berjaya, syarikat kami merupakan pelopor dalam mengubah cara pembiayaan projek menggunakan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sebelum ini," katanya.

Oleh itu, beliau menegaskan laporan portal berita bahasa Inggeris bertajuk, Crony Capitalism in Malaysia has to go, son of YTL founder says telah diberi gambaran salah secara keseluruhannya.

Kata beliau, artikel berkenaan secara automatik menunjukkan Malaysia mengamalkan kapitalisme kroni dan ia adalah tidak benar.

"Syarikat sejak dari awal sentiasa yakin terhadap ekonomi Malaysia dan pihak kerajaan, sehubungan itu anak-anak syarikat YTL disenaraikan di Bursa Malaysia.

"Kejayaan YTL di Malaysia hakikatnya mencerminkan keyakinan kami terhadap kerajaan dan ekonomi negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment