My Add

Sunday 8 June 2014

Geng Jeevan kempunan hasil rompakan

ALOR SETAR, SABTU 07 Jun, 2014: Tiga penjenayah tegar kempunan untuk membelanjakan wang RM30,000 yandisamun dari sebuah kedai menjalankan kegiatan haram penghantaran wang ke luar negara di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani apabila diberkas polis ha­nya dalam tempoh 30 minit setelah melakukan jenayah itu.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, segalanya bermula apabila polis mendapat maklumat awam yang mengatakan terdapat rancangan untuk menyamun premis berkenaan kira-kira 8.30 malam semalam.

"Setibanya anggota polis ke lokasi kejadian, ketiga-tiga mereka didapati baru selesai menjalankan kegiatan jahat itu. Arahan polis agar mereka menyerah diri tidak diendahkan sebaliknya mereka cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

"Walaupun tembakan amaran dilepaskan, kenderaan itu tidak berhenti dan memecut laju sehingga melanggar kenderaan lain. Namun polis akhirnya dapat memberkas mereka setelah memintas dan menghalang laluan kereta dinaiki penjenayah terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga mereka merupakan anggota geng Jeevan yang sememangnya dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah berat di sekitar Kubang Pasu, Kota Setar dan Kuala Muda.

Salah seorang daripada yang ditahan itu merupakan ketua kumpulan tersebut yang berusia sekitar 40-an dan berasal dari negeri ini.

Ahmad Ibrahim menambah, bersandarkan soal siasat dijalankan, pihaknya lalu meneruskan operasi untuk mencari saki-baki anggota kumpulan tersebut yang dianggap berbahaya.

"Hasilnya, kira-kira 4.30 pagi tadi, kami berjaya memberkas dua lagi anggota kumpulan berkenaan di sebuah restoran di Jalan Simpang Kuala dan sebuah rumah di Jalan Datuk Kumbar.

"Bagaimanapun kami percaya masih ada anggota kumpulan itu yang bebas dan gerakan memburu mereka akan diteruskan sehingga kumpulan ini lumpuh sepenuh­nya," katanya.

Difahamkan kesemua yang ditahan itu mempunyai antara tiga hingga 12 rekod kesalahan lampau melibatkan kes dadah, rompakan, samun dan membunuh serta turut menjadi buruan anggota polis kontinjen Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan kerana disyaki melakukan kesalahan di negeri tersebut.

Mengulas mengenai Ops Cantas Khas yang dijalankan pihaknya sejak Ogos lalu, beliau berkata, setakat ini operasi itu berjaya mendatangkan hasil yang membanggakan dalam membanteras jenayah di negeri ini.

"Sehingga akhir Mei 2014, kami berjaya merampas 10 pucuk pistol, 18 senapang angin, tujuh assault rifle, selaras pump gun, 15 pistol tiruan serta tiga bom Jerangkap Letupan Rekaan (IED) sepanjang sembilan bulan operasi ini dijalankan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment