My Add

Sunday 15 June 2014

Geng Pak Ady, Geng Botak Nazi dalangi kes samun tumpas

 * ZAINUDDIN Ahmad menunjukkan parang yang digunakan dalam kes samun di Ampang Park dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SABTU 14 Jun, 2014: Polis berjaya menumpaskan dua kumpulan yang dikenali ‘Geng Pak Ady’ dan ‘Geng Botak Nazi’ yang aktif melakukan pelbagai jenis samun di sekitar ibu negara.

Dalam kejayaan pertama, polis telah menangkap empat anggota ‘Geng Pak Ady’ yang aktif menyamun pelanggan yang keluar dari bank dalam beberapa serbuan di ibu negara dan Selangor, kelmarin.

Suspek yang berusia 35 hingga awal 40-an itu ditangkap selepas baru sahaja selesai menyamun seorang ahli perniagaan di sebuah pusat beli-belah dekat Ampang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, keempat-empat suspek diberkas dalam serbuan berasingan di Chow Kit, Gombak, Sungai Besi, Ampang dan Seri Kembangan antara pukul 3 petang hingga 4 pagi.

“Dengan tertangkapnya anggota Pak Ady ini, kami percaya dapat menyelesaikan 13 kes samun melibatkan mangsa yang baru keluar dari bank sepanjang tahun ini," katanya.

Mengulas mengenai kejadian Khamis lalu, Zainuddin berkata, seorang ahli perniagaan cedera di bahu dan rugi sebanyak RM165,000 selepas beg galas yang mengandungi wang tunai RM37,000 dan jam tangan bernilai RM128,000 milik mangsa dilarikan suspek yang bersenjata parang, ketika dia baru sahaja keluar dari bank.

Sementara itu, ‘Geng Botak Nazi’ yang didalangi warga gelandangan turut tumpas setelah polis menahan empat lelaki di Jalan Lebuh Ampang di sini, pukul 7 pagi Rabu lepas.

Ujar Zainuddin, kumpulan itu mensasarkan mangsa dari kalangan warga asing dan difahamkan bergerak dalam satu kumpulan antara pukul 5 hingga 9 pagi di sekitar kawasan Jalan Silang, Pasar Seni dan Jalan Pudu.

“Empat suspek mengaku melakukan samun di sekitar kawasan Dang Wangi dan masing-masing yang diberkas mempunyai rekod jenayah samin dan dadah.

“Dengan tangkapan ini, kami berjaya menyelesaikan tidak kurang dari 20 kes di daerah ini. Siasatan lanjut masih di jalankan bagi memburu saki baki kumpulan ini," katanya.

Sehubungan itu, Zainuddin memberi ingatan kepada orang awam supaya sentiasa berwaspada dan mengelak daripada berjalan seorang diri di kawasan gelap bagi mengelak kejadian tidak diingini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment