My Add

Sunday 15 June 2014

Seorang mati, 2 kumpulan Myanmar bergaduh

 * SEORANG warga Myanmar yang cedera dibawa ke hospital setelah terbabit dalam pergaduhan di Kubang Semang, Permatang Pauh, Pulau Pinang, semalam.
BUKIT MERTAJAM, SABTU 14 Jun, 2014: Seorang lelaki warga Myanmar maut ditikam dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan pekerja dari negara itu di Taman Akasia, Kubang Semang, dekat sini kira-kira pukul 12.30 pagi ini.

Dalam kejadian itu, dua kumpulan berkenaan yang terdiri daripada lebih 20 lelaki pada awalnya hanya bertikam lidah akibat berselisih faham sebelum melarat kepada pergaduhan menyebabkan seorang lagi cedera parah dan dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Baharom Abu berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam yang bimbang selepas mendengar bunyi bising pergaduhan berkenaan.

“Mereka yang menyedari kehadiran anggota polis kemudian melarikan diri dan pemeriksaan menemui satu mayat dalam longkang dengan kesan tikaman pada bahagian badan dan kepala," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baharom berkata, polis turut menemukan seorang lagi lelaki dalam keadaan cedera parah, namun tiada sebarang pengenalan diri ditemukan.

Katanya, dalam pemeriksaan susulan di tempat kejadian pada pukul 8 pagi ini, rumah kongsi yang didiami pekerja Myanmar berkenaan kosong kerana kesemua pekerja dipercayai melarikan diri.

Sehubungan itu, tambahnya, polis telah menubuhkan pasukan khas bagi mengesan individu yang terlibat dalam kejadian itu serta meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi balai polis berhampiran.

“Polis juga sudah memanggil kontraktor taman perumahan berkenaan dan memberikan nasihat supaya mengawal serta menjaga pekerja mereka supaya tidak berlaku pergaduhan seperti kejadian awal pagi ini," katanya.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment