My Add

Sunday 15 June 2014

Pasangan anak beranak cedera tersepit

 * ORANG ramai dan anggota bomba memberi pertolongan kepada Nor Aslina Abu Samah yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Jelebu, Seremban, semalam.
SEREMBAN, SABTU 14 Jun, 2014: Seorang ibu bersama anak kecilnya hanya mampu menangis menahan kesakitan akibat tersepit apabila kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan pasir di Jalan Jelebu, di sini petang ini.

Mujur Nor Aslina Abu Samah, 36, dan anaknya, Muhammad Hadis Mohd. Fadlan, 8, segera dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Menyelamat yang tiba di tempat kejadian.

Akibat kemalangan itu, kedua beranak berkenaan masing-masing mengalami kecederaan di bahagian muka serta patah tangan kanan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, dekat sini.

Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku apabila Nor Aslina yang memandu Perodua Alza cuba membelok ke Kampung Jiboi sebelum bertembung dengan lori pasir berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

Sebaik sahaja bertembung, Pero­dua Alza tersebut terseret kira-kira lima meter manakala lori terlibat pula terbalik, menyebabkan muatan pasir melimpah ke atas jalan raya.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, S. Maya berkata, pihaknya mengambil masa hampir 10 minit untuk mengeluarkan pemandu dan kanak-kanak yang tersepit di dalam Perodua Alza tersebut.

“Ketika diselamatkan, pemandunya cedera di muka manakala penumpang kanak-kanak lelaki tersepit tangan dan kaki. Pemandu lori pula tidak me­ngalami sebarang kecederaan.

“Mangsa wanita dihantar ke hospital dengan jentera Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) dan seorang lagi dibawa menggunakan ambulans hospital," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu di Nilai, seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar bahagian belakang sebuah kereta di Kilometer 285.7, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di sini, petang semalam.

Mangsa, Dzulkiflee Che Putih, 51, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di bahagian anggota badan akibat tercampak dalam insiden itu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supritendan Abdullah Roning memberi­tahu, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur telah terlanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton Wira yang mengubah haluannya ke lorong kiri lebuh raya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment