My Add

Saturday 14 June 2014

Guan Eng jangan melatah

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL

BUTTERWORTH, JUMAAT 13 Jun, 2014: Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak perlu melatah dengan permohonan Kedah untuk membina sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu di Kulim.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Jahara Hamid berkata, kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bahawa pihaknya akan meminta tambahan dua lagi lapangan terbang sekiranya permintaan Kedah diluluskan dilihat seperti kebudak-budakkan.

"Ketua Menteri tidak perlu bersikap seperti kanak-kanak tidak mendapat gula-gula. Beliau harus faham Kedah juga mempunyai rancangan masa depan mereka sendiri untuk pembangunan negeri itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jahara yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar mengulas reaksi Guan Eng yang seolah-olah kurang senang dengan pengumuman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa negeri itu telah membuat permohonan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara berkenaan.

Guan Eng dilaporkan berkata, sekiranya dibina lapangan terbang antarabangsa baharu di Kulim, beliau akan meminta tambahan dua lagi lapangan terbang di Pulau Pinang kerana yang sedia ada telah mencapai kapasiti maksimum.

Dalam pada itu, Jahara secara sinis turut bertanya kepada Guan Eng lokasi jika mahu dibina lapangan terbang baharu di negeri ini berikutan faktor kekurangan tanah yang dihadapi.

"Adakah Ketua Menteri mahu lapangan terbang dibina di Pulau Jerejak dan Pulau Aman? Bagi saya, beliau perlu realistik.

"Kerajaan Pusat baru-baru ini membelanjakan RM300 juta untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), namun masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan seperti kedatangan pelancongan dan kargo yang bertambah," katanya.

Menurut Jahara, sikap pemimpin DAP dalam hal ini bukan pelik kerana sejarah membuktikan mereka pernah menentang pembinaan Jambatan Pulau Pinang dahulu.

"Apabila menyedari jambatan itu mempunyai peranan penting, mereka mendesak dipercepatkan pembinaan jambatan kedua pula.

"Ketika jambatan kedua sedang dibina dan belum dirasmikan, mereka tergesa-gesa mengumumkan pembinaan terowong dasar laut pula," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, Guan Eng tidak perlu berasa ‘iri hati’ sebaliknya melihat cadangan tersebut dalam aspek yang lebih luas untuk kemajuan negeri-negeri di utara.

"Sekiranya pembinaan lapangan terbang antarabangsa itu diluluskan bukan sahaja membawa manfaat kepada Kedah tetapi keseluruhan kawasan koridor utara termasuk hampir 800,000 rakyat negeri ini yang tinggal di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan," katanya.

Dalam masa sama, Musa turut mempersoalkan sama ada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) masih mempunyai tanah di kawasan berhampiran LTAPP sekiranya mahu memperbesarkan lapangan terbang tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment