My Add

Saturday 14 June 2014

Pemilihan Parti Keadilan Rakyat Cabang Klang didakwa guna pengundi hantu

PELABUHAN KLANG, JUMAAT 13 Jun, 2014: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Klang didakwa menggunakan pengundi hantu kerana masih menyenaraikan sebanyak 60 bekas ahli parti tersebut yang telah keluar daripada PKR sejak empat tahun lalu sebagai pengundi.

Bekas Ketua Ranting PKR Taman Permai, Klang, A. Prakash berkata, kira-kira 30 anggota PKR dari ranting itu dan 30 lagi dari ranting Kota Pendamar, Klang telah menerima surat daripada PKR yang meminta mereka supaya keluar mengundi pada pemilihan kali kedua Ahad ini.

Katanya, perkara ini boleh membuka peluang kepada pihak tertentu untuk memasukkan nama bekas anggota parti terbabit sebagai pengundi hantu.

"Mereka menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Barisan Nasional (BN) menggunakan pengundi hantu, tetapi mereka sebenarnya yang teruk.

"Mereka sepatutnya memadamkan nama anggota yang telah keluar parti tetapi selepas diperiksa, nama kami masih ada dalam sistem," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Sebanyak 35 cabang PKR mengadakan pemilihan semula selepas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) membatalkan proses itu atas alasan wujud elemen mensabotaj parti seperti merempuh masuk ke dalam dewan pengundian dan menimbulkan kekecohan.

Prakash dalam pada itu turut membangkitkan tentang kemungkinan ada pihak yang menanggung yuran keahlian untuk beliau dan bekas anggota PKR lain berjumlah RM2 setahun bagi memastikan keahlian mereka terus aktif.

"Saya menggesa kepemimpinan tertinggi PKR memadamkan nama saya dan bekas anggota lain daripada senarai anggota PKR sebelum kami mengambil tindakan selanjutnya.

"Kami juga akan hadir pada pemilihan parti bahagian Klang Ahad ini untuk memeriksa sama ada nama kami masih berada dalam senarai pengundi dan jika mereka masih tidak memadamkan nama kami, kami tidak akan teragak-agak membuat laporan polis," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment