My Add

Tuesday 10 June 2014

Guru perlu manfaat daya kreatif, inovatif

 * P. Kamalanathan menyampaikan Ijazah Sarjana Muda Perguruan kepada salah seorang penerima dalam majlis Konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Perguruan Ke-4 di IPG Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSANN/Hafiz Johari
KUALA LUMPUR, ISNIN 09 Jun, 2014: Guru perlu memanfaatkan sepenuhnya daya kreatif dan inovatif mereka untuk menterjemahkan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, langkah itu mampu dilakukan oleh guru kerana mereka telah didedahkan kepada program berbentuk inovasi semasa mengikuti latihan di Institut Pendidikan Guru (IPG).

"Malah, para graduan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) juga perlu menjalankan kajian tindakan berkaitan masalah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah sebagai syarat melengkapkan keperluan kursus.

"Pendedahan dan pengalaman yang dipelajari di IPG wajar diteruskan setelah ditempatkan berkhidmat di sekolah untuk melonjakkan prestasi murid menjadi modal insan berminda kelas pertama sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan negara," katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Konvokesyen PISMP Ke-4 2014 yang turut dihadiri Rektor IPG Malaysia, Sulaiman Wak di sini hari ini.

Seramai 4,785 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing pada majlis tersebut manakala atlet lawan pedang negara, Hasmie Sohaini, 25, diberikan Anugerah Rektor dan Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum.

Dalam pada itu, Kamalanathan berkata, guru perlu bertindak secara proaktif mendepani perubahan yang bakal berlaku sepanjang kerjaya mereka supaya dapat memberikan ilmu dan kemahiran yang terkini kepada pelajar.

Katanya, dalam era globalisasi dan perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), guru wajar menyalurkan kemahiran abad ke-21 khususnya kemahiran insaniah dan bekerja kepada pelajar.

"Dunia kerjaya yang semakin mencabar menunjukkan tenaga kerja yang hanya memiliki hard skills (kemahiran teknikal) akan terpinggir.

"Oleh itu, selaras dengan hasrat melahirkan modal insan berminda kelas pertama, kemahiran insaniah, antaranya kepimpinan, membuat keputusan, berkomunikasi pelbagai bahasa dan keusahawanan wajar ditingkatkan dalam kalangan pelajar sekolah rendah lagi," ujarnya.

Tambah beliau, guru juga harus menguasai kemahiran akses pelbagai dan memanfaatkan pembelajaran dalam talian untuk memperkayakan bahan pengajaran dan pembelajaran serta bahan bantu mengajar.

Sementara itu, Hasmie berkata, nasihat kedua-dua ibu bapanya menjadi pencetus semangat untuk dia belajar bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik dalam apa juga bidang diceburi.

Hasmie yang telah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan seorang anak perempuan berkata, tanggungjawab sebagai suami dan bapa tidak menjadi penghalang baginya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan.

Beliau yang merupakan graduan pengkhususan Bahasa Melayu dari IPG Kampus Bahasa Melayu berkata, guru di sekolah menengah banyak memberi galakan dan dorongan sepanjang waktu pembelajaran sehinggakan memberi inspirasi kepadanya untuk memilih bidang berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment