My Add

Saturday 21 June 2014

Hormati bidang kuasa badan agama - Pas Kelantan

KOTA BHARU, JUMAAT 20 Jun, 2014: Tindakan mempertikaikan kewibawaan atau tahap profesionalisme sesebuah badan agama seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak timbul jika semua pihak menghormati bidang kuasa yang diperuntukkan kepadanya.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, bidang kuasa sesebuah badan agama juga tidak wajar menjadi perdebatan kerana perkara itu telah ditentukan berdasarkan perundangan yang sah.

Namun katanya, badan agama atau mana-mana pihak berkuasa perlu menggunakan kebijaksanaan dalam melaksanakan tugas dan menangani sebarang isu bagi mengelak berlaku kekecohan.

"Isu di Selangor, saya tidak ingin komen sangat. Apa yang saya sedia maklum, pandangan (empat Ahli Parlimen Pas Selangor) adalah lebih kepada pandangan peribadi kerana Pas sendiri sebagai parti tidak mengeluarkan sebarang keputusan.

"Bagi saya, setiap orang mesti menghormati bidang kuasa masing-masing kerana ia telah ditentukan oleh undang-undang," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan empat pemimpin Pas Selangor mendesak enakmen yang memberi kuasa eksekutif kepada MAIS dipinda bagi mengurangkan bidang kuasa badan agama itu dalam menjaga kesucian Islam di Selangor.

Desakan itu dibuat berikutan kontroversi yang melanda apabila Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dikatakan menjatuhkan imej Islam kerana merampas 300 naskhah Bible, Januari lalu.

Mengenai gambar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz terlantar di hospital dan dikatakan dalam keadaan tenat di internet, Mohd. Amar menyelar perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"Itu gambar lama, beliau (Nik Aziz) sekarang dalam keadaan baik, tidak ada masalah. Beliau hanya berehat selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital.

"Saya nasihatkan pihak ini supaya jangan sebarkan khabar angin, lebih-lebih lagi mengeksploitasi kesihatan atau peribadi orang demi kepentingan sendiri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment