My Add

Saturday 21 June 2014

Ganti Akta Hasutan 1948: Perlu hati-hati gubal tiga akta baharu

KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Penggubalan tiga akta bagi menggantikan Akta Hasutan 1948 perlu dilakukan dengan berhati-hati agar usaha itu benar-benar dapat mencapai objektif yang diharapkan iaitu mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihak terlibat wajar mengadakan perbincangan berterusan dan mengambil kira pandangan semua pihak supaya akta baharu itu nanti dapat dibentuk dengan sempurna.

"Walaupun kita mengharapkan perkembangan positif mengenai tiga draf undang-undang itu, ia sudah mendapat tentangan daripada sesetengah pihak.

"Ini adalah cabaran menanti dan saya harap atas dasar yang sama, semua perbincangan akan mencapai kata sepakat bagi membantu merealisasikan penggubalan akta yang mampu mempertahankan semua rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan forum 'Rang Undang-Undang Harmoni: Kenapa Malaysia Memerlukannya' di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun serta dua Ahli Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Polisi, Majlis Konsultasi dan Perpaduan Nasional (MKPN) iaitu Datuk Saifuddin Abdullah dan Lim Chee Wee.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, MCA kini sedang berusaha mendapatkan pelbagai input terutama daripada MKPN selaku pihak yang terlibat merangka draf undang-undang itu.

"Kita merasakan bahawa undang-undang baharu ini penting untuk masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang di negara ini kerana ia mempromosikan kesejahteraan.

"MCA merasakan draf undang-undang ini perlu diperluaskan kepada semua pihak untuk perbincangan selain menyelesaikan segala perkara berbangkit sebelum ia boleh digubal," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment