My Add

Saturday 21 June 2014

Wujud mekanisme baharu penggunaan RON95

 * HAMZAH Abdul Wahab (kanan) merekodkan kereta yang mengisi minyak semasa membuat pemantauan pergerakan kenderaan mewah yang mengisi minyak bersubsidi Ron95 di sebuah stesen minyak di Cheng, Melaka, semalam.
MELAKA, JUMAAT 20 Jun, 2014: Satu mekanisme baharu perlu diwujudkan bagi memantau penggunaan petrol RON95 sekali gus memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana terus menikmati subsidi bahan api tersebut.

Ketua Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) negeri, Hamzah Abdul Wahab berkata, mekanisme itu perlu bagi memberi jaminan petrol RON95 tidak digunakan oleh golongan mewah sebaliknya menepati golongan sasaran.

Menurutnya, salah satu mekanisme dicadangkan adalah dengan menggesa pengusaha atau pemilik stesen minyak agar tidak menjual minyak petrol RON95 kepada kenderaan melebihi 2,000 cc.

"Selain itu, JMM Melaka turut mencadangkan supaya kenderaan dari negara jiran khususnya Singapura dan Thailand dilarang sama sekali daripada menggunakan petrol RON95," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pemantauan penggunaan subsidi petrol di sebuah stesen minyak di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat Cheng di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah JMM Melaka, Faisal Mohd. Nor.

Mengulas lanjut pemantauan dijalankan di stesen minyak bermula pukul 8 pagi hingga 11 pagi itu kata Hamzah, usaha tersebut adalah tindakan susulan kaji selidik bagi kegunaan petrol RON95.

"Pemantauan dilakukan untuk mengumpul data serta merekodkan jumlah kenderaan mewah yang mengisi kenderaan mereka dengan RON95 di stesen minyak tersebut," ujarnya.

Hasil pemantauan selama tiga jam itu katanya, pasukan JMM Melaka merekodkan sebanyak 80 kenderaan menggunakan RON95 dan 60 peratus daripadanya merupakan kenderaan mewah.

"Pemantauan ini menunjukkan bahawa sasaran pihak kerajaan agar subsidi bahan api tersebut digunakan oleh golongan berpendapatan rendah sudah tersasar sebaliknya ia dimanfaatkan oleh golongan yang berpendapatan tinggi.

"Pihak JMM akan terus melaksanakan pemantauan di seluruh negara dari semasa ke semasa bagi melihat perkembangan yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung perkara ini seterusnya membantu kumpulan sasar mendapat hak mereka," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment