My Add

Friday, 20 June 2014

Ikut proses perundangan - Sultan Selangor

Oleh LILIS SURIANI OMAR
 
 Sultan Sharafuddin Idris Shah
SHAH ALAM, KHAMIS 19 Jun, 2014: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya isu pemulangan atau pelupusan kitab Bible dalam bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah, dilaksanakan mengikut prosedur perundangan sedia ada dan terpakai.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan memberitahu, Sultan Sharafuddin menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar segera merujuk perkara itu kepada pihak pendakwa raya untuk dibawa ke mahkamah selaras dengan arahan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara agar JAIS mengambil tindakan selanjutnya mengikut undang-undang.

Berikut adalah kenyataan penuh tersebut:

Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa setelah berbincang dengan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan agar isu pemulangan atau pelupusan Bible Al-Kitab dalam Bahasa Malaysia, yang menggunakan kalimah ‘Allah’ hendaklah dilaksanakan mengikut proses dan prosedur perundangan sedia ada dan yang terpakai.

Prosedur undang-undang menetapkan pelupusan barang kes yang dirampas semasa serbuan dan siasatan boleh dirujuk oleh pihak pendakwa raya kepada mahkamah bagi mendapatkan satu perintah sama ada perintah pelupusan atau perintah pemulangan.

Titah ini adalah selaras dengan arahan di dalam minit yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Peguam Negara yang menyatakan "berhubung Bible Al-Kitab yang dirampas, pihak JAIS diminta untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut undang-undang."

Oleh itu, pihak JAIS perlu segera merujuk perkara ini kepada pihak pendakwa raya untuk tujuan rujukan dibuat ke mahkamah. Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua belah pihak yang terlibat.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga berpendapat isu ini tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana ahli politik sehingga boleh mengelirukan dan meresahkan masyarakat dengan mengesyorkan jalan penyelesaian yang tidak berpandukan kepada undang-undang dan ada juga syor-syor yang tidak munasabah.

Di samping itu, baginda berharap ahli-ahli politik tidak menggunakan isu ini untuk kepentingan peribadi, kumpulan atau parti mereka.

Biarlah perkara ini diselesaikan di antara pihak-pihak yang terlibat dan juga pihak yang diberi kuasa untuk menyelesaikannya.

Isu agama adalah merupakan satu isu yang sensitif. Oleh itu baginda meminta supaya semua pihak berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan.

Baginda juga menasihatkan kepada mereka yang terlibat secara langsung dengan isu tersebut supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan dilarang untuk masuk campur dalam isu ini sehingga boleh mengelirukan lagi keadaan.

Baginda juga membuat penegasan bahawa setiap tindakan dan titah baginda dalam apa jua isu sama ada berkaitan dengan agama atau negeri, tidak pernah membelakangkan undang-undang dan tidak pernah cuba bertindak mengatasi undang-undang above the law. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment