My Add

Friday, 20 June 2014

Permit ekspatriat lulus 5 hari

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

 * NAJIB Tun Razak diiringi Ahmad Zahid Hamidi (kanan) melawat kaunter Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat selepas merasmikannya di Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya, semalam. - BERNAMA
PUTRAJAYA, KHAMIS 19 Jun, 2014: Proses kelulusan permit kerja bagi ekspatriat terutama golongan pelabur serta ahli perniagaan akan dipendekkan kepada lima hari waktu bekerja berbanding lebih sebulan sebelum ini dengan wujudnya Bahagian Perkhidmatan Ekspatriat (ESD), Jabatan Imigresen.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, usaha tersebut merupakan satu langkah penambahbaikan Jabatan Imigresen dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada golongan terbabit namun perkhidmatan itu hanya diberi kepada syarikat-syarikat yang berdaftar dengan ESD.

Selain kelulusan permit pekerjaan, ujar beliau, bahagian itu turut menawarkan perkhidmatan lain khusus untuk keperluan ekspatriat seperti pas tanggungan, pas lawatan sosial, pas lawatan profesional dan pas residen-bakat.

"Inisiatif ini adalah jawapan kepada keperluan ekspatriat terutama dalam usaha menarik dan mengekalkan bakat-bakat terbaik dari luar negara untuk terus berkhidmat di negara ini.

"Oleh itu, adalah penting bagi kerajaan mengekalkan hubungan baik dengan syarikat-syarikat utama ini untuk bekerjasama lebih rapat lagi bagi memastikan khidmat yang kami berikan relevan dengan keperluan mereka," katanya ketika melancarkan secara rasmi penubuhan ESD di Ibu Pejabat Imigresen di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Aloyah Mamat.

Ekspatriat yang hadir ialah wakil American Chamber of Commerce (AMCHAM), Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICC), Japanese Chamber of Trade and Industry, Intel, Shell dan Axiata.

Perdana Menteri turut mengadakan dialog tertutup dengan pihak ekspatriat selepas majlis pelancaran ESD tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, kewujudan ESD bukan sahaja hasil daripada kerjasama erat antara kerajaan dengan sektor swasta malah kejayaan itu turut didorong melalui usaha sama antara KDN, Jabatan Imigresen dan TalentCorp.

"Berperanan sebagai pusat sehenti bagi pihak ekspatriat, ESD menyediakan saluran bagi mereka atau syarikat-syarikat untuk melaksanakan semua urusan imigresen melalui satu platform data bersepadu yang kemudian boleh dibuat permohonan secara talian.

"ESD ini juga akan diwujudkan di negeri lain dan untuk peringkat permulaan kita telah memilih negeri Johor dan Pulau Pinang," katanya lagi.

Beliau berkata, ESD kemudian akan diperluaskan ke agensi-agensi yang meluluskan segala berkaitan dengan ekspatriat seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC)," katanya.

Sementara itu, Aloyah ketika ditemui berkata, segala proses yang berkaitan dengan ESD akan dibuat melalui talian dan setakat ini hanya ibu pejabat di Putrajaya sahaja yang menawarkan perkhidmatan itu sepenuhnya.

Menjawab soalan, beliau berkata, setakat April ini 90,432 permit pekerjaan untuk golongan itu telah dikeluarkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment