My Add

Thursday 19 June 2014

Industri minyak sawit perlu adaptasi teknologi baharu

 * DOUGLAS Uggah Embas (dua dari kanan) melihat inovasi tandan kelapa sawit yang telah dijadikan papan pelbagai guna sambil diperhatikan oleh Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad (kiri), Nurmala Abdul Rahim (kanan) dan Choo Yuen May (belakang tiga dari kiri) pada majlis perasmian Seminar Pemindahan Teknologi di Ibu pejabat MPOB di Bangi, Selangor, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Industri minyak sawit perlu terus mengadaptasi teknologi baharu sebagai alat untuk merevolusikan operasi di seluruh rantaian bekalan sektor tersebut.

Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu amat penting kerana penggunaan teknologi dan inovasi baharu dapat mempertingkatkan kecekapan dan produktiviti industri terbabit.

"Teknologi agronomi seperti bahan tanaman, baja serta kawalan perosak dan penyakit boleh menambah produktiviti sawit dan hasilnya.

"Penggunaan jentera sebaliknya tertumpu pada keperluan buruh manakala automasi akan meningkatkan efisien dan kualiti produk. Oleh itu gabungan inisiatif ini akan menyumbang ke arah meningkatkan daya saing industri minyak sawit di negara ini bagi jangka masa panjang," katanya ketika berucap pada seminar pemindahan teknologi anjuran Lembaga Minyak Sawit Negara (MPOB) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Nurmala Abdul Rahim, Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Ar. Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad dan Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Choo Yuen May.

Dalam seminar itu, MPOB me­meterai dua memorandum persefahaman (MoU) dengan Nexfuel Sdn. Bhd. dan One Food Industry Sdn. Bhd. bagi membantu memperkenalkan dua produk keluaran syarikat berkenaan.

Selain itu, dua produk baharu iaitu EMBIO actinoPLUS bagi mencegah penyakit Ganoderma pada pokok sawit dan pemotong sawit bermotor, Cantas Evo turut dilancarkan pada majlis tersebut.

Douglas berkata, pendekatan teknologi tersebut juga akan membuka peluang mencipta kekayaan baharu bagi syarikat, industri dan negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment