My Add

Thursday 19 June 2014

Turki setuju wujud Pusat Pengajian Melayu-Uthmaniyah

ANKARA, RABU 18 Jun, 2014: Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan bersetuju untuk mewujudkan Pusat Pengajian Melayu-Uthmaniyah di salah sebuah universiti terulung di negara berkenaan.

Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Erdogan bersetuju menempatkan pusat pengajian itu sama ada di Universiti Fatih Sultan Mehmet Vaqif, Istanbul atau di Universiti Istanbul yang berusia lebih 500 tahun.

"Persetujuan ini terhasil setelah mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan kira-kira satu jam bersama Erdogan di pejabatnya di sini, hari ini," kata Rais.

Kunjungan itu dilakukan bersama pengurusan tertinggi UIAM terdiri daripada Rektor, Datuk Sri Zaleha Kamaruddin dan Timbalan Rektor, Prof. Dr. Abdelaziz Beghout.

Turut hadir ialah Duta Besar Malaysia di Turki, Amran Mohamed Zain.

Rais berkata, cadangan untuk mewujudkan Pusat Pengajian Melayu-Uthmaniyah itu adalah supaya tamadun Melayu diketahui khususnya di rantau Asia Barat ini.

Beliau berkata, ia secara langsung dapat menjadikan hubungan akademik dan kemasyarakatan Malaysia dengan Turki terjalin lebih akrab.

"Turki dipilih kerana ia merupakan salah sebuah negara Islam yang progresif dan mempunyai sejarah serta kegemilangan tamadunnya tersendiri.

"Di samping itu, Turki juga mempunyai talian sejarah dengan Malaysia bukan sahaja dalam bentuk hubungan dua hala, malah talian persaudaraan antara rakyat dan rakyat di kedua-dua negara - seperti di Johor dan Kelantan," katanya.

Dalam kunjungan itu juga, Sijil Anugerah Kedoktoran UIAM yang diterima oleh Erdogan sewaktu lawatan rasmi ke Malaysia Januari lepas turut diserahkan.

Pertemuan tersebut adalah sebahagian daripada lawatan kerja rombongan UIAM ke Turki malah sebelum itu rombongan tersebut turut melawat beberapa universiti tempatan termasuk Universiti Istanbul.

Rais yang juga Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan berkata UIAM akan bekerjasama dan mengadakan perbincangan lanjut bersama Universiti Fatih Sultan Mehmet Vaqif, Istanbul dalam masa terdekat.

Secara kebetulan UIAM sedang menganjurkan Persidangan Antarabangsa dan Bengkel Pengurusan Waqaf 2014 di universiti itu, kata beliau.

Menyentuh tentang lawatan dan kerjasama dengan beberapa universiti di Turki, Rais berkata, setakat ini UIAM telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan tidak kurang 15 universiti negara itu dalam pelbagai bidang. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment