My Add

Thursday, 19 June 2014

Sarawak harap MAS kekalkan MASwing

MIRI, RABU 18 Jun, 2014: Kerajaan negeri berharap tindakan Malaysian Airline System (MAS) mengkaji semula operasi berikutan berhadapan dengan masalah kewangan tidak akan menjejaskan operasi anak syarikatnya, MASwing di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, sekiranya MAS meneruskan rancangan mengurangkan kos operasi dan subsidiarinya, adalah penting bagi syarikat itu membiarkan MASwing beroperasi secara bersendirian bagi melindungi kepentingan industri penerbangan dan pelancongan di kedua-dua negeri tersebut.

"Keputusan kerajaan Sarawak amat jelas iaitu mahu meningkatkan jalinan penerbangan, Jadi, masalah MAS tidak harus menjejaskan kepentingan Sabah dan Sarawak.

"Kalau MAS benar-benar mahu mengurangkan kos dan jumlah subsidiari, mereka tidak harus melupakan MASwing dengan menjadikannya sebagai syarikat penerbangan serantau di Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis Menandatangani Perjanjian Pengurusan Perhotelan antara syarikat Accor Group dan Unique Harvests Sdn. Bhd. bagi Pullman Miri Waterfront di sini hari ini.

Beliau mengulas isu MAS yang berhadapan dengan masalah kewangan pada ketika ini dan dilaporkan merancang mengurangkan kos operasi bagi membolehkan syarikat penerbangan itu kekal bertahan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerajaan negeri bersedia memberi bantuan kepada MASwing jika masih dikekalkan sebagai anak syarikat MAS.

"Ketika ini, kita banyak bergantung kepada Brunei sebagai hab penerbangan sebelum pelancong datang ke Sarawak tetapi kalau kita menjadikan MASwing sebagai syarikat penerbangan serantau, kita boleh melakukan penerbangan terus ke Hong Kong, Singapura dan Bangkok.

"Kita juga boleh memberi fokus kepada usaha mempromosi tempat menarik di Sarawak dan menarik kehadiran pelancong dengan adanya penerbangan dari negara seperti Hong Kong yang menjadi hab kepada pelancong dari Eropah dan China," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari memberitahu, terdapat peningkatan ketara jumlah pelancong ke Sarawak pada tahun lalu iaitu pertambahan lebih tujuh peratus daripada 3.8 juta orang pada 2012 kepada 4.37 juta orang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment