My Add

Monday 9 June 2014

Insentif cukai bantu koperasi kecil

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR, AHAD 08 Jun, 2014: Koperasi-koperasi kecil dan sederhana di negara ini perlu diberi insentif dalam bentuk pengecualian cukai bagi meningkatkan daya saing dan terus kekal tumbuh secara positif.

Pengerusi Eksekutif Koperasi Wawasan Malaysia (Kowamas), Datuk Mohamed Farid Zawawi berkata, pendekatan itu dapat menggalakkan koperasi kecil dan sederhana terlibat dalam projek-projek ekonomi berskala besar sekali gus memberi nilai tambah kepada pendapatan koperasi.

Sebelum ini katanya, hanya koperasi yang mempunyai saham RM500,000 dan ke bawah menerima insentif cukai sedangkan jumlah tersebut adalah amat kecil dan tidak dapat membantu koperasi terbabit menjalankan aktiviti yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Tidak salah sekiranya kerajaan memberi keistimewaan dari segi insentif cukai ini jika kita mahu melihat gerakan koperasi berupaya berkembang dalam tempoh tertentu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut beliau, walaupun kerajaan menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan bantuan menerusi Tabung Modal Pusingan (TMP), namun tabung tersebut adalah kecil berbanding dengan jumlah koperasi dan keanggotaan yang semakin bertambah saban tahun.

Berdasarkan rekod, bilangan koperasi di negara ini kini berjumlah 11,000 dengan keanggotaan seramai lapan juta orang. Buat masa ini, koperasi menjadi penyumbang ketiga ekonomi negara dengan perolehan pada 2013 sebanyak RM32.97 bilion.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan perlu mengkaji semula keperluan bagi koperasi untuk memiliki saham dalam syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia sebagai satu langkah untuk meningkatkan pegangan bumiputera dalam sektor ekonomi.

"Saya kira kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri boleh melaksanakan perkara ini. Walaupun saham yang diberikan itu dalam peratusan yang kecil tetapi impaknya cukup besar kepada sesebuah koperasi," katanya.

Bagaimanapun ujarnya, koperasi yang berpeluang membeli saham dalam syarikat-syarikat tersebut diingatkan supaya tidak bertindak menjual saham dalam tempoh masa yang singkat.

"Jika boleh, beli dan pegang dalam tempoh tertentu supaya dapat merasai kesan positif hasil daripada pemilikan saham ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment