My Add

Tuesday, 10 June 2014

Isu sekolah vernakular hangatkan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, ISNIN 09 Jun, 2014: Wakil-wakil rakyat DAP umpama 'cacing kepanasan' apabila isu sekolah vernakular disentuh pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Wakil-wakil parti itu yang selama ini memainkan sentimen kononnya memperjuangkan kepentingan semua kaum dilihat berang dan bertindak menyerang Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) kerana menyentuh isu berkenaan.

Kekecohan bermula apabila Bung Moktar menyeru rakyat berbilang kaum di negara ini bersyukur dengan keterbukaan yang ditunjukkan kerajaan selama ini dalam membenarkan kewujudan sekolah-sekolah vernakular di negara ini.

Katanya, Malaysia merupakan negara tunggal di dunia yang membenarkan kewujudan sekolah vernakular, berbeza dengan negara jiran seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

"Kalau di Thailand, sekolah mereka semua gunakan bahasa Thailand, kalau di Filipina, sekolah guna bahasa Filipina dan sama juga di Indonesia," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Yayasan Guru Tun Hussein Onn 2014.

Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan) bertindak mempertikaikan tindakan Bung Moktar dan bertanya apakah kenyataan itu mencerminkan aspirasi 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walaupun beberapa kali diganggu oleh wakil DAP termasuk V. Sivakumar (DAP-Batu Kawan), Bung Moktar tetap bertegas mempertahankan kenyataannya dengan berkata: "Sekiranya benar mahu membawa aspirasi rakyat, masuklah sekolah-sekolah kebangsaan sedia ada."

Isu tersebut tidak terhenti di situ sahaja apabila Sivakumar yang berbahas selepas itu pula mendakwa sekolah-sekolah vernakular terutama sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) telah dianaktirikan oleh kerajaan sehingga menjadi punca tsunami politik pada 2008.

"Untuk menarik semula sokongan masyarakat India, kerajaan telah memperuntukkan RM560 juta dari 2009 hingga 2013 untuk menaikkan infrastruktur bangunan sekolah berkenaan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment