My Add

Tuesday 10 June 2014

Suami isteri maut dalam kebakaran

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

*API marak membakar sebuah rumah yang mengorbankan pasangan suami isteri di Kampung Kunak Jaya, Kunak, Sabah, semalam.
KUNAK, ISNIN 09 Jun, 2014: Cubaan seorang suami untuk menyelamatkan isteri yang terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Kunak Jaya dekat sini awal pagi ini, gagal apabila kedua-duanya terkorban dalam kejadian itu.

Lebih menyayat hati, mayat pasangan berusia 50-an itu, Jumaidi Sakka dan isterinya, Dahati Juma yang telah rentung, ditemui berdekatan di bahagian dapur rumah tersebut. Kebakaran dipercayai bermula pada pukul 1 pagi.

Utusan Malaysia difahamkan, kedua-dua mangsa cuba keluar menyelamatkan diri melalui pintu dapur, namun gagal akibat api marak terlalu kuat.

Ketua Bomba dan Penyelamat Kunak, Jaafar Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.08 pagi dan sebaik tiba di lokasi kejadian, hampir keseluruhan rumah tersebut telah musnah terbakar.

Beliau berkata, kerja-kerja memadam kebakaran yang melibatkan rumah kayu itu berjaya dilakukan dalam tempoh 40 minit.

"Sebaik kerja-kerja memadam selesai, anggota bomba telah memeriksa keseluruhan rumah berkenaan dan menemui satu mayat di bahagian dapur. Beberapa minit kemudian, satu lagi mayat ditemui berdekatan mayat pertama," katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Menurut Jaafar, siasatan awal mendapati hanya kedua-dua mangsa berada di rumah tersebut ketika kebakaran.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Kunak untuk bedah siasat dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment