My Add

Monday 16 June 2014

Kementerian Kesihatan gubal akta kawal kualiti air

SEGAMAT, AHAD 15 Jun, 2014: Satu akta baharu sedang digubal bagi memberi kuasa kepada Kementerian Kesihatan memastikan sumber air yang dibekalkan kepada pengguna benar-benar selamat digunakan dan mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, jika diluluskan, kementerian akan membuat pemeriksaan ke atas sumber asas, pemprosesan dan penghantaran bekalan air kepada pengguna selain memastikan kualitinya terjamin.

"Pada masa ini kuasa dan fungsi kementerian dalam memastikan bekalan air selamat diminum terhad di peringkat sumber sahaja manakala perkara lain seperti pemprosesan dan penghantaran terpulang kepada kerajaan negeri," katanya selepas merasmikan Program Jom Jaga Gigi, Komuniti Sihat Peringkat Parlimen Segamat di Dewan Orang Ramai Kampung Balai Badang, Buloh Kasap, dekat sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, apabila siap, draf akta itu akan diserahkan kepada Peguam Negara sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum akhir tahun ini untuk diluluskan.

Mengenai keputusan kerajaan negeri Selangor mengepam air dari kolam bekas lombong ke sungai-sungai yang dijadikan sumber bekalan memproses air bersih di negeri itu, beliau berkata, seboleh-bolehnya kerajaan negeri mengelak berbuat demikian kerana penduduk khuatir air lombong mengandungi logam berat yang terhasil daripada aktiviti perlombongan sebelum ini.

Justeru, beliau menasihatkan kerajaan negeri Selangor tidak menggunakan kaedah itu pada masa akan datang dan bagi menghadapi musim kemarau tidak lama lagi dan mereka perlu memulakan catuan air bersih lebih awal.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan peratusan perokok wanita terutama dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 18 tahun kebelakangan ini.

"Hasil kajian kementerian mendapati lima daripada 20 peratus remaja berusia 15 hingga 18 tahun yang menghisap rokok adalah wanita. Jika masalah ini tidak dibendung akan menjejaskan matlamat kerajaan untuk mengurangkan bilangan perokok kepada 16 peratus pada 2015 berbanding 23.1 peratus sekarang,'' ujarnya.

Beliau mengakui langkah kerajaan menaikkan harga rokok sehingga RM12 sekotak belum berkesan mengurangkan jumlah perokok di negara ini kerana mereka boleh mendapatkan bekalan rokok murah yang diseludup ke negara ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment