My Add

Friday 13 June 2014

Mengapa Majlis Peguam ralat?

Oleh ROSALINDA MD.SAID

BESUT, KHAMIS 12 Jun, 2014: Tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan saman fitnah terhadap portal berita Malaysiakini dan dua pengarangnya merupakan langkah yang wajar demi mencari kebenaran serta tidak bertentangan dengan hak sesiapa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, langkah itu merupakan hak Perdana Menteri bagi menuntut keadilan, justeru agak luar biasa apabila Majlis Peguam melihat tindakan tersebut sebagai satu kekangan kepada kebebasan media dan melanggar hak asasi manusia.

"Kita maklum di negara ini media ada kebebasan, tetapi dalam masa sama wujud batas undang-undang, kuasa-kuasa tertentu yang tidak boleh dilanggar lebih-lebih lagi jika membabitkan soal fitnah atau perkara yang boleh memalukan.

"Apatah lagi dalam hal ini melibatkan Perdana Menteri dan kerajaan, maka itu merupakan hak beliau untuk bertindak bagi membetulkan keadaan menerusi proses perundangan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jom Bertani peringkat kebangsaan di Kampung Nyiur Tujuh, Jerteh di sini hari ini.

Majlis Peguam menganggap tindakan mahkamah yang diambil oleh Najib yang juga Presiden UMNO terhadap Malaysiakini menyalahi hak asasi manusia sekali gus menggesa supaya saman itu dibatalkan.

Pada 30 Mei lalu, Najib dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh memfailkan saman terhadap Malaysiakini berhubung penerbitan dua artikel yang berunsur fitnah pada Mei lalu.

Najib selaku plaintif kedua mengemukakan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas kapasiti peribadi beliau manakala Ab. Rauf sebagai plaintif pertama bertindak bagi pihak UMNO.

Muhyiddin memberitahu, mana-mana pihak yang teraniaya atau difitnah berhak untuk bertindak dan membawa perkara itu ke muka pengadilan kerana pada akhirnya mahkamah yang akan menentukan sebarang keputusan serta menimbang asas-asas yang akan diputuskan kelak.

"Kita harus berlaku adil. Kalau berlaku di negara lain, di Singapura, Perdana Menterinya mengambil tindakan tidak ada pula Majlis Peguam di sana mahupun di negara ini kata melanggar hak asasi dan kebebasan media.

"Tetapi kenapa di Malaysia, dia (Majlis Peguam) bagi nasihat gesa Perdana Menteri batalkan saman itu," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment