My Add

Friday 6 June 2014

Jamil Khir pertahan tindakan JAIS

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2014: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mempertahankan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dilihat lebih arif dalam melaksanakan tugas ketika melakukan serbuan dalam satu majlis perkahwinan di sebuah kuil di Petaling Jaya, Ahad lalu.

Malah, jelasnya, JAIS juga telah memainkan peranan sewajarnya dalam menjaga kepentingan agama Islam, khususnya di Selangor.

"Dari segi prosedur, JAIS lebih arif berdasarkan kuasa yang telah diberikan mengikut peruntukan dalam Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan, Senarai Dua, Islam di bawah kuasa Majlis Agama Islam Negeri. Kita harap semua pihak berlapang dada dan menyerahkan tanggungjawab ini kepada pihak sepatutnya.

"JAIS telah berperanan sewajarnya dalam menjaga kepentingan Islam, tentunya atas urusan dan tanggungjawab yang diserahkan. Sebab itu mereka laksanakan tugas untuk menjaga kepentingan Islam," katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Kad Tabung Haji Debiti MasterCard oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyifatkan tindakan JAIS menyerbu dan menahan seorang wanita yang menggunakan nama Melayu dan disyaki beragama Islam ketika melangsungkan perkahwinan di sebuah kuil di Petaling Jaya tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

Jamil Khir berkata, Majlis Agama Islam harus memainkan peranan untuk mempertahankan Islam mengikut kuasa yang telah ‘diperturunkan’ kepada mereka.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau memberitahu, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) telah berjaya memecah rekod pada tahun lalu dengan mencatat pendapatan kasar melebihi RM3.7 bilion, selain peningkatan bilangan pendeposit kepada 8.4 juta orang dengan jumlah simpanan melebihi RM48 bilion.

Katanya, kejayaan itu membolehkan Tabung Haji berkongsi dengan umat Islam di negara ini melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

"Antara sumbangan terbesar Tabung Haji ialah tanggungan kos haji kepada jemaah haji muassasah kali pertama setiap tahun, selain program-program untuk golongan yang memerlukan. Oleh itu, Tabung Haji beriltizam akan terus meningkatkan kecemerlangan dan membanggakan Malaysia di mata dunia," tambahnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment