My Add

Saturday 14 June 2014

Kerajaan disaran gubal Dasar Pengiklanan Negara

 Mohamad Md Yusoff
KUALA LUMPUR, JUMAAT 13 Jun, 2014: Kerajaan disaran menggubal Dasar Pengiklanan Negara (DPN) bagi memperkasakan agenda ekonomi Bumiputera-Melayu dalam industri pengiklanan dan komunikasi pemasaran menjelang 2020.

Penasihat Persatuan Pengiklanan Bumiputera (Pribumi) Kuala Lumpur dan Selangor, Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff berkata, penggubalan DPN dapat mentransformasikan struktur industri pengiklanan negara yang berat sebelah kerana dikuasai oleh syarikat multinasional asing yang sudah bertapak lama sejak zaman penjajahan lagi.

Menurutnya, penstrukturan semula tersebut memungkinkan pemain industri seperti agensi pengiklanan Melayu, agensi produksi, pengiklan dan pembekal mampu diperkasakan dalam konteks menikmati keadilan ekonomi seperti yang dituntut oleh Wawasan 2020.

Katanya, perkara itu bertujuan untuk memastikan masa depan dan hala tuju industri strategik ini berlandaskan aspirasi nasional dan Wawasan 2020 agar pengagihan kemewahan negara dikongsi bersama oleh semua kaum, bukan hanya diraih oleh segelintir kuasa menerusi proksi syarikat asing luar negara.

"Semua ini adalah supaya agenda ekonomi Bumiputra terus dipelihara dan dipertingkatkan agar guna tenaga dan modal insan anak bangsa dalam industri pengiklanan dapat dimanfaatkan.

"Lulusan komunikasi pemasaran dari institusi pengajian awam (IPTA) perlu dijamin kelangsungan mereka dan saya yakin DPN mampu menjamin modal insan ini bagi dimanfaatkan oleh industri, bukan sebaliknya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas artikel ‘Dasar pengiklanan negara, pemangkin pembangunan’ dalam segmen Di Sebalik Jenama, Utusan Malaysia tulisan Adi Satria pada 7 Jun lalu.

Mohamad berkata, DPN seperti dicadangkan tersebut, wajar dijadikan bahan wacana kontemporari sepanjang hayatjika jihad ekonomi hendak dilestarikan.

"Yang penting, industri pengiklanan negara kini bernilai RM13 bilion dan dijangka meningkat kepada RM20bilion menjelang 2020.

"Persoalannya, berapa banyak yang pendapatan yang diperoleh agensi pengiklanan dan pemain indsutri Melayu Bumiputera sepanjang industri ini diiktiraf sumbangannya?," katanya.

Beliau mempersoalkan mengapa industri pengkilanan dan komunikasi pemasaran di Malaysia masih berada di takuk lama sedangkan pasaran halal di Malaysia hampir mencecah berbilion ringgit.

"Kita seperti dianak tirikan dan pemain luar negara dilihat membolot hasil pendapatan industri ini.

"Dalam hal ini, syarikat milik kerajaan (GLC) perlu membantu dalam mentransformasikan struktur iklan yang sama rata dan pengagihan pendapatan serta bersifat lokal bukan berkiblatkan orientasi Barat," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment