My Add

Monday 9 June 2014

Peranan raja dipinda - MB

Oleh Haniza Hassan

 * MOHAMED Khaled Nordin berjalan keluar dari Dewan Undangan Negeri di Kota Iskandar, Nusajaya semalam, selepas memaklumkan dalam ucapan penggulungan bahawa Rang Undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor akan dibentangkan hari ini dengan pindaan.
NUSAJAYA, AHAD 08 Jun, 2014: Kerajaan negeri membuat beberapa pindaan terhadap rang undang-undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, khususnya berkaitan peranan Sultan Johor.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pindaan berkenaan dilakukan selepas pihaknya mengambil kira tohmahan dan kekeliruan yang timbul serta reaksi daripada pelbagai pihak selain mahu memelihara sistem Raja Berperlembagaan.

Beliau menjelaskan, pindaan itu khususnya fasal yang melibatkan peruntukan yang menyentuh peranan raja dalam pelantikan lembaga pengarah LPHJ.

"Yang paling penting, lain-lain fasal ditiadakan (yang menyentuh peranan raja) dan digantikan dengan Pihak Berkuasa Negeri.

"Ada fasal yang akan dipinda dengan menyatakan secara khusus peranan raja adalah atas nasihat Menteri Besar terutama dari segi pelantikan," katanya semasa sesi penggulungan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Utusan Malaysia menyiarkan laporan tentang langkah kerajaan negeri untuk membentangkan rang undang-undang baharu itu bagi menubuhkan LPHJ yang dilaporkan jika diluluskan akan memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Malah, ada beberapa pihak menggesa kerajaan negeri supaya tidak meluluskan rang undang-undang tersebut serta mendesak pembentangan esok ditangguhkan.

Mohamed Khaled menjelaskan, pindaan itu juga dibuat untuk menunjukkan kerajaan negeri ikhlas tentang penubuhan lembaga berkenaan, selain tidak berniat seolah-olah mahu memberi kuasa eksekutif kepada raja.

"Selain itu, kita tidak mahu dilihat mengganggu gugat sistem Raja Berperlembagaan walaupun kandungan enakmen yang akan diwujudkan ini sama seperti dalam peruntukan yang terdapat dalam akta di peringkat Persekutuan," katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa rang undang-undang berkenaan akan dibaca bersama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor dan tiada istilah ia akan melanggar prinsip Raja Berperlembagaan.

"Sekiranya enakmen Johor dianggap bertentangan dengan Perlembagaan, maka semua akta di peringkat Persekutuan juga bertentangan.

"Jadi, kita harap pindaan ini nanti tidak akan menimbulkan lagi apa-apa masalah kerana apa yang kerajaan negeri usahakan adalah demi rakyat, bagi rakyat dan untuk rakyat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment