My Add

Thursday 19 June 2014

Pesawah perlu jual padi kepada PPK

Oleh SAFINA RAMLI

ALOR SETAR, RABU 18 Jun, 2014: Pesawah-pesawah disaran agar menjual hasil padi mereka kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi memastikan keuntungan yang diperoleh oleh PPK hasil daripada jualan padi itu dipulangkan kembali kepada pesawah dalam bentuk dividen.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya tidak pernah memaksa petani untuk menjual hasil mereka kepada PPK, namun harga padi yang ditawarkan oleh PPK dan orang tengah kini adalah sama iaitu RM1,200 per tan metrik.

"Memang kurang pesawah yang menjual padi mereka kepada PPK kerana mereka lebih gemar menjual hasil kepada orang tengah.

"Kesedaran dalam kalangan pesawah perlu sebab jika mereka jual kepada PPK keuntungan yang PPK dapat akan dipulangkan kembali kepada pesawah dalam bentuk dividen sebab mereka ahli PPK.

"Kalau jual kepada syarikat atau orang tengah, keuntungan yang mereka peroleh tidak dapat dikongsi dengan pesawah dan saya harap satu perubahan sikap perlu ada pada pesawah memastikan jihad untuk memerangi orang tengah berjaya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan banjir, kemarau dan tanah jerlus berjumlah lebih RM6 juta kepada kira-kira 2,917 petani di negeri ini di Dewan Sultan Abdul Halim, Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2.14 juta diperuntukkan kepada 1,165 pesawah bagi bantuan kemarau, RM1.75 juta bagi 1,037 pesawah (banjir) dan RM2.72 juta untuk 715 pesawah (bantuan tanah jerlus).

Menurut Ismail, sebagai usaha menggalakkan lebih ramai pesawah menjual hasil padi mereka kepada PPK dan memudahkan proses belian padi dijalankan, jumlah PPK akan ditambah.

Buat masa ini, terdapat tiga PPK yang menjadi pusat belian padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) manakala di luar kawasan MADA pula ada lapan.

"Untuk tahun ini kita akan tambah lapan lagi PPK menjadikan jumlah keseluruhannya 19 PPK di Kedah yang menjadi pusat belian padi," jelasnya.

Beliau yakin usaha secara berterusan untuk memberikan kesedaran kepada pesawah agar menjual hasil padi kepada PPK akan berjaya.

"Menjual hasil kepada orang tengah sudah menjadi tradisi pesawah di negara ini dan saya tidak anggap perkara ini mudah untuk dijayakan. Kalau pesawah kita sendiri tidak berubah maka selamanya mereka akan terus bergantung kepada orang tengah," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment