My Add

Saturday, 21 June 2014

Kawasan baharu cari MH370 diumum 2 minggu lagi

SEPANG, JUMAAT 20 Jun, 2014: Fasa baharu pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu kekal dilaksanakan di kawasan koridor selatan dengan jangkauan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kawasan tumpuan pencarian secara khusus dalam fasa baharu itu akan diumumkan selewat-lewatnya dua minggu lagi bersama China dan Australia.

Beliau berkata, pencarian itu akan dibantu tambahan beberapa aset baharu termasuk kapal China, Zhu Kenzhen 872 dan kapal Belanda, Fugeo Equator yang mendapat tender pencarian dari Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC).

"Kita akan umumkan kawasan pencarian baharu ini yang dibuat menerusi kaedah pengiraan matematik pemetaan di dasar laut oleh pakar tetapi kekal di koridor selatan berdasarkan petunjuk paling baik yang kita ada iaitu maklumat 'handshake' oleh syarikat satelit komunikasi Britain, Inmarsat," katanya dalam sidang akhbar selepas diberikan taklimat mengenai persiapan perasmian terminal penerbangan tambang murah baharu, klia2 pada 24 Jun ini.

Menurut Hishammuddin, selepas pengumuman kawasan baharu itu, Malaysia akan menghantar dua aset, masing-masing milik Petronas dan Sapura Kencana untuk turut serta dalam pencarian itu.

Sementara itu, beliau mengesahkan terminal tambang murah baharu, klia2 selamat beroperasi biarpun berlaku masalah mendapan di beberapa tempat.

Hishammuddin berkata, pihak perunding bebas, Ikram Premier Consulting (Ikram) telah mengesahkan bahawa mendapan itu tidak menjejaskan klia2.

''Biarpun mendapat maklum balas daripada Ikram bahawa terdapat mendapan di apron jalan raya, landasan dan laluan teksi, masalah ini tidak menjejaskan keselamatan dan masih memenuhi standard Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)," katanya.

Menurutnya, Ikram akan meneruskan pemantauan di klia2 sehingga tamat kontrak selama tiga bulan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga akan melakukan beberapa penambahbaikan di klia2 antaranya dengan menambah lebih banyak papan tanda dan laluan pejalan kaki bergerak bagi kemudahan penumpang.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan terminal baharu itu pada Selasa minggu depan pada pukul 3 petang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment