My Add

Saturday 21 June 2014

Muhyiddin galak sekolah tubuh Kelab Menjenayahkan Peperangan

PUTRAJAYA, JUMAAT 20 Jun, 2014: Semua sekolah digalak mewujudkan Kelab Menjenayahkan Peperangan (CWC) bagi memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar bahawa perang merupakan jenayah kemanusiaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, para pelajar selaku pemimpin masa hadapan perlu berani dan aktif memenuhi agenda menjenayahkan perang menerusi aktiviti menggalakkan keamanan dan keharmonian di sekolah masing-masing.

''Peperangan telah mencabuli setiap hak kanak-kanak seperti hak untuk bersama keluarga, pendidikan, kesihatan, hak untuk dididik dan perlindungan.

''Kita bimbang jika tidak banyak usaha pendedahan bahawa peperangan merupakan satu jenayah, maka lebih banyak kanak-kanak terus menjadi mangsa perang pada masa akan datang,'' katanya dalam ucapan pelancaran CWC Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Yang turut hadir, Pengasas dan Pengerusi CWC, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengerusi Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), Tan Sri Norian Mai dan Pengetua SAS, Haidzir Hussin.

Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan turut memberi penghargaan kepada Siti Hasmah kerana menjayakan usaha memberi penerangan dalam menyatakan peperangan merupakan satu jenayah dan kezaliman kepada dunia melalui penubuhan CWC.

Ujarnya, SAS merupakan sekolah ketiga di negara ini yang menubuhkan CWC selepas Kolej Tunku Kurshiah, Seremban pada 11 April 2013 dan Cempaka International School, Kuala Lumpur pada September tahun yang sama.

''CWC bermatlamat membina sebuah komuniti yang mempunyai pengetahuan mendalam dan pemahaman mengenai kesan peperangan terutamanya terhadap wanita dan kanak-kanak,'' katanya.

Sementara itu, Siti Hasmah dalam ucapannya berkata, Malaysia kini menikmati keamanan dan kestabilan namun malangnya generasi muda di negara ini tidak mengetahui konflik peperangan yang tercetus di peringkat global.

Sehubungan itu, katanya, CWC diwujudkan bagi memainkan peranan untuk menyemarakkan lagi keamanan dan persahabatan dengan semua tanpa mengira kaum dan agama.

''Maka dengan sebab ini, kita wajar menubuhkan CWC untuk memberi pendedahan kepada mereka supaya menjauhkan diri daripada konflik peperangan dan pembunuhan.

''Saya gembira dengan penubuhan CWC di sekolah ini kerana usaha itu menunjukkan terdapat pihak yang memahami misi kita dan diharapkan sekolah lain dapat mengikuti jejak langkah ini,'' katanya. - UTUSAQN

No comments:

Post a Comment