My Add

Friday 20 June 2014

KDNK catat pertumbuhan 6.2 peratus

 ABDUL RAHMAN HASAN
KOTA KINABALU, KHAMIS 19 Jun, 2014: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2014 mencatat kadar pertumbuhan 6.2 peratus, kata Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Dr. Abdul Rahman Hasan.

Menurutnya, dari segi pengeluaran, pertumbuhan itu diterajui industri perkhidmatan, yang tumbuh 6.6 peratus, dan pembuatan (6.8 peratus) manakala dari segi permintaan ia didorong oleh kesan momentum kukuh perbelanjaan pengguna akhir swasta (7.1 peratus), pembentukan modal tetap kasar (6.3 peratus) dan pemulihan dalam sektor luaran (eksport: 7.9 peratus).

"Daripada data-data ini, kita dapat lihat bahawa kemajuan ekonomi Malaysia terus mantap walaupun berhadapan dengan senario ekonomi global yang tidak menentu," katanya ketika berucap pada majlis sesi bersama responden ’Kepentingan Statistik Perdagangan Edaran Pemacu Ekonomi Sabah & Negara’, di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, berdasarkan laporan prestasi Program Transformasi Ekonomi (ETP) selepas tiga tahun perlaksanaannya, seperti yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan berjaya mewujudkan 196 projek dengan pelaburan komited berjumlah RM219.3 bilion, yang dijangka menyumbang RM144 bilion kepada KDNK dan mewujudkan hampir 440,000 pekerjaan baharu.

Berdasarkan laporan prestasi berkenaan juga, beliau berkata, dalam sektor perkhidmatan borong dan runcit, 616 kedai dalam Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) telah dimodenkan, dan 78 peratus daripada kedai berkenaan berjaya meningkatkan hasil.

Menurutnya, sebanyak 368 bengkel automotif juga berjaya ditransformasikan dalam program Pemodenan Bengkel Automotif (ATOM) sejak 2011, dan daripada jumlah itu, 81 peratus bengkel telah meraih keuntungan.

Mengenai Banci Perdagangan Edaran 2014 yang bermula Mac lepas dan berakhir September ini, Abdul Rahman berkata, bancian melalui kaedah e-mel dan bersemuka itu melibatkan 594,445 syarikat di seluruh negara, termasuk 30,000 syarikat di Sabah.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Sabah, Norezan Wahid pula berkata, Jabatan Perangkaan membuka pejabat operasinya di lima daerah, masing-masing di Tawau, Sandakan, Keningau, Lahad Datu dan Kota Marudu, bagi menjaga hubungan baik dengan responden.

"Pejabat operasi ini menjadi pusat pengumpulan data bagi daerah-daerah berdekatan sebelum diselaraskan dan diproses di pejabat Kota Kinabalu dan seterusnya di ibu pejabat Putrajaya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment