My Add

Saturday 21 June 2014

Kehadiran jet pejuang F22 Raptor satu penghormatan

BUTTERWORTH, JUMAAT 20 Jun, 2014: Kehadiran jet pejuang F22 Raptor milik Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) dalam siri latihan bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui Eksesais Cope Taufan dan Teak Hint 2014 yang berakhir hari ini merupakan satu penghormatan kepada negara.

Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais TUDM, Mejar Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menerima kehadiran jet pejuang canggih itu.

"Kita negara pertama di rantau ini yang menerima kunjungan F22 Raptor dan perkara itu membuka ruang kepada para anggota TUDM yang terlibat untuk menjalani latihan dengan pesawat canggih milik USAF," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Eksesais Cope Taufan dan Teak Mint 2014 yang disertai 1,000 anggota tentera udara kedua-dua buah negara di Pangkalan TUDM Butterworth di sini hari ini.

Majlis penutupan berkenaan disempurnakan secara bersama oleh Affendi dan Ketua Komander Eksesais USAF, Mejar Jeneral Kevin Pottinger.

Eksesais yang bermula pada 6 Jun lalu itu merupakan antara siri latihan bersama TUDM dan USAF membabitkan penggunaan tiga Pangkalan Udara TUDM iaitu Pangkalan Udara Butterworth, Subang dan Kuantan.

Sementara itu, Affendi berkata, eksesais tersebut merupakan antara siri latihan bersama yang melibatkan TUDM dengan negara luar dalam usaha memantapkan pertahanan negara.

"Siri latihan seumpama ini telah kita jalankan sejak tahun 1980-an namun kali ini adalah yang terbesar kerana kita menggabungkan dua eksesais yang memberikan peluang latihan dalam suasana Dissimilar Air Combat Tactic (DACT) dan Combine Air Operation.

"Selain itu, eksesais ini juga dilihat dapat memperkukuhkan persefahaman, setiakawan dan perhubungan antara TUDM bersama USAF," ujarnya.

Mengulas lanjut, Affendi berkata, eksesais berkenaan juga ternyata mampu mempamerkan kebolehan dan kecekapan anggota TUDM khususnya juruterbang.

"Melalui taklimat yang diberikan kepada saya oleh pegawai USAF, mereka memuji juruterbang TUDM yang dikatakan setanding dengan juruterbang mereka.

"Malah juruterbang kita juga dianggap mereka sebagai kontemporari, rajin dan memiliki kemahiran yang baik," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment