My Add

Saturday 21 June 2014

NGO serah memorandum bantah keganasan di Sri Lanka

KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah Malaysia (MJMM) hari ini menyerahkan memorandum membantah keganasan yang berlaku terhadap minoriti umat Islam di Sri Lanka kepada kedutaan negara tersebut di sini.

Jurucakap NGO tersebut, Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, mereka membantah sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan oleh majoriti penduduk Buddha terhadap golongan minoriti umat Islam tersebut kerana perbuatan itu melanggar hak asasi manusia.

"Golongan ekstremis Buddha yang dipimpin oleh para sami menyerang kawasan di barat daya, Sri Lanka hingga umat Islam terbunuh dan tercedera. Mereka bukan sahaja ditindas, malah rumah, kedai dan masjid turut dibakar.

"Tindakan tersebut tidak berperikemanusiaan. Mereka dilihat seperti tidak menghormati hak asasi manusia apabila melakukan kekejaman kepada golongan minoriti," katanya yang juga Presiden IRIMM sebelum menyerahkan memorandum tersebut.

Memorandum dua muka surat itu diserahkan kepada Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan, SR Manawaduge di Kedutaan Sri Lanka pada pukul 12.30 tengah hari.

Menurut Amir Amsaa, pihaknya menyeru kerajaan Sri Lanka segera mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan penindasan dan memastikan golongan minoriti di negara tersebut diberi perlindungan dan keselamatan sewajarnya.

"Kami mendesak kerajaan Sri Lanka supaya menghentikan keganasan yang berlaku dan berharap Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa menangkap golongan tersebut supaya keselamatan orang Islam terpelihara," katanya.

Sementara itu, Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah turut menggesa kerajaan Sri Lanka melindungi rakyatnya yang beragama Islam dan tidak membiarkan penindasan terus berlaku.

"Kami wakil dari NGO berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan kadar segera," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment