My Add

Saturday 21 June 2014

Lembaga Pemegang Amanah Tabung Pendidikan RM1 bilion Alumni UiTM ditubuhkan

KUALA LUMPUR, JUMAAT 20 Jun, 2014: Lembaga Pemegang Amanah Tabung Pendidikan RM1 bilion Alumni UiTM (TP1B) merancang mengadakan lebih banyak aktiviti amal bagi mengumpul dana tersebut.

Pengerusi lembaga itu, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata, antara program terdekat yang akan dilaksanakan ialah majlis makan malam amal dan kutipan derma secara berterusan dan berkala.

"Banyak aktiviti yang perlu dilipat ganda bagi membolehkan perancangan kutipan dana RM1 bilion ini mencapai matlamat,'' katanya yang juga Timbalan Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad, semasa berucap merasmikan mesyuarat pertama lembaga itu di Kuala Lumpur malam tadi.

Turut hadir ialah penaung lembaga itu yang juga Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh serta timbalan pengerusi lembaga merangkap Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM), Datuk Zaini Hassan. Tabung ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Iqra' sebuah badan penggerak wakaf korporat.

Lembaga itu ditubuhkan setelah tercetus idea bagi mengumpul dana RM1 bilion daripada kalangan alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang kini berjumlah kira-kira 570,000 orang. Formulanya ialah RM2,000 setiap alumni x 500,000 alumni = RM1 bilion.

Namun, kutipan itu terbuka daripada jumlah yang sekecil-kecilnya berjumlah RM10 sebulan sehinggalah dalam bentuk wakaf seperti tanah, saham dan sebagainya dalam jumlah yang tiada had.

Ia diilhamkan oleh Idris kepada PAUiTM beberapa bulan lalu dan sejak itu dana terkumpul adalah berjumlah hampir RM200,000.

Anggota-anggota lembaga pemegang amanah itu terdiri daripada kalangan alumni UiTM yang berjaya dalam bidang masing-masing.

Menurut Lodin, beliau berterima kasih kerana melantiknya menjadi pengerusi lembaga itu sambil menyifatkan ia sebagai "satu cabaran'' yang perlu dilaksanakan.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya berkata, tabung itu kelak akan digunakan untuk tujuan pendidikan, kebajikan, biasiswa serta penyelidikan-penyelidikan ilmiah yang terbuka kepada semua kaum.

"Kami juga mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum untuk turut menderma bagi tabung ini,'' katanya.

Selain Idris dan Lodin, ahli-ahli lembaga itu terdiri daripada Datuk Ibrahim Ahmad (Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat), Datuk Ramli Mohd Nor (Pengerusi Eksekutif Kumpulan Olio Sdn. Bhd.) Dato Seri Shazalli Ramly (Ketua Pegawai Eksekutif CelcomAxiata Bhd.), Datuk Seri Ir Mohd. Zin Mohamed (bekas Menteri Kerja Raya), Datuk Kamarudin Meranun (Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Air Asia).

Datuk Wan Ismail Wan Yusoh (Pengurus Besar Bank Islam (M) Bhd), Datuk Poziah Abdul Rahman (Yayasan AlBukhary), Datuk Ahirudin Attan (Presiden National Bloggers Association), Datuk Zainul Azman Datuk Zainul Aziz (Pengerusi TH Travel & Services).

Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad (Ketua Setiausaha Akhbar Perdana Menteri), Datuk Seri Panglima Marsidi Manjun (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Exco Pelajaran Negeri Sabah), Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid (Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank Berhad), Datin Paduka Jamiah Abdul Hamid (Tim. Presiden, Korporat & Antarabangsa PNB), Datuk Nik Mohd. Amin (Yayasan Iqra), Datuk Halipah Esa (bekas Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi di JPM) dan Datuk Yahya Abdul Jalil (Pengarah Urusan Gerbang Perdana Sdn. Bhd.) sementara setiausaha lembaga ini ialah Shukri Ishak dan Nasir Harun.

Sumbangan dan derma untuk tabung ini boleh dibuat dengan menghubungi: Persatuan Alumni UiTM Malaysia di alamat A-1-1, i-City, Jalan Multimedia AH/7 Seksyen 7, 40000 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan Telefon: 019-217 1910 (Afiza) Email: uitmalumni@gmail.com

Facebook: http://www.alumniuitm.org.my/facebook Portal: http://www.alumniuitm.org.my - UTUSAN

No comments:

Post a Comment