My Add

Saturday 21 June 2014

Keluar kepompong kemiskinan

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
 
* ARPAH Abdul Razak beramah mesra dengan sebahagian daripada 53 peserta yang mengikuti kursus jahitan dan pengurusan makanan sejuk beku selepas merasmikan Majlis Penutup Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan di Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/Rosni Masri
KOTA BHARU, JUMAAT 20 Jun, 2014: Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu berjaya membantu peserta keluar daripada kepompong kemiskinan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Arpah Abdul Razak berkata, maklumat utama program itu ialah meningkatkan kemahiran peserta supaya mampu menjana pendapatan sendiri.

Beliau berkata, sejak dilaksanakan pada 2012, kementerian dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah melatih lebih 3,000 peserta dengan kebanyakannya kini sudah mampu membuka perniagaan sendiri.

"Sebanyak 80 peratus peserta terlibat telah berjaya menjana pendapatan melebihi RM300 sebulan.

"Kementerian ingin memastikan tiada golongan masyarakat yang tercicir dalam mencapai hasrat negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," katanya kepada pemberita selepas menutup program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Halimi Abdul Manaf; Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM), Nik Mohd. Yusuf Nik Ismail dan Ahli Majlis Tertinggi DPIM, Datin Majidah Rashid.

Program itu yang bermula pada 14 Jun lalu dan berakhir hari ini melibatkan 53 peserta yang mengikuti dua bidang kursus iaitu jahitan dan pengurusan makanan sejuk beku.

Selain itu, Arpah memberitahu, kementerian telah meningkatkan had umur peserta program daripada 55 kepada 60 tahun selain melaksanakan pemantauan berterusan terhadap peserta sehingga tempoh enam bulan selepas tamat kursus. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment