My Add

Saturday 21 June 2014

MPAT TE-25 platform wujudkan keserasian dalam operasi misi pengaman

 * ABU Bakar Md. Said (depan, empat dari kanan) dan William F. Seymour (depan, lima dari kanan) bersama sebahagian peserta bengkel selepas Majlis Penutup Staff Planning Workshop Multinational Planning Augmentation Team -Tempest Express 25 di Auditorium Ban Ki-Moon, di Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam, - UTUSAN/Abdul Razak Aid
TELOK KEMANG, JUMAAT 20 Jun, 2014: Bengkel Multinational Planning Augmentation Team Tempest Express-25 (MPAT TE-25) merupakan platform terbaik ke arah mewujudkan keserasian di antara pasukan petugas multinasional khususnya ketika menjalankan misi pengaman.

Panglima Angkatan Bersama (PAB) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Leftenan Jeneral Datuk Abu Bakar Md. Said berkata, objektif utama bengkel tersebut adalah untuk meningkatkan pencapaian serta keupayaan pasukan petugas khas dalam misi operasi keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Yang lebih penting, peserta yang terdiri daripada pegawai tentera mewakili 24 negara ini dapat berkumpul untuk berbincang, merancang serta menentukan pelan pelaksanaan operasi.

"Diharapkan inisiatif ini juga bukan sahaja menjadi landasan untuk mengeratkan hubungan antara negara malah meningkatkan keupayaan tindak balas dalam menghadapi sebarang krisis antarabangsa secara efektif dan efisien," katanya ketika ditemui pada majlis penutup MPAT TE-25 di Pusat Pengaman Malaysia (PPM), Port Dickson di sini hari ini.

Turut hadir Penolong Pengarah Operasi Antarabangsa dan Pertempuran United States Pacific Commad, Brigadier Jeneral Tentera Udara Kanada, William F. Seymour

Jelas Abu Bakar, bengkel itu juga membuka peluang untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik ketenteraan dari pelbagai negara.

"Ini penting kerana peserta dapat mempelajari bukan sahaja berhubung aspek ketenteraan malah mengenai budaya dan trend di sesebuah negara yang melibatkan orang awam, ahli politik serta tentera persendirian.

"Maka secara tidak langsung semua peserta dapat meningkatkan kefahaman terhadap isu keselamatan yang rumit di negara luar," ujarnya.

Program sembilan hari itu disertai oleh 120 pegawai tentera mewakili 24 negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment