My Add

Monday 16 June 2014

POKB tubuh tabung khusus untuk pesakit buah pinggang

*  MUSTAPA Mohamed (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesakit buah pinggang dalam Program Tautan Kasih-Kami Prihatin di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan, semalam. Turut sama, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad (dua dari kiri).
KOTA BHARU, AHAD 15 Jun, 2014: Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) menubuhkan Tabung Kasih Buah Pinggang Orang Kota Bharu (OKB) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mengutip dana bagi membantu pesakit buah pinggang yang menerima rawatan hemodialisis di hospital itu.

Presiden POKB, Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, penubuhan tabung tersebut akan menyemarakkan lagi kerja-kerja kebajikan pihaknya yang sebelum ini telah berjaya mewujudkan Tabung Kasih Kanser OKB HRPZ II untuk pesakit kanser.

"Sebenarnya usaha mengutip dana untuk tabung yang dipengerusikan oleh Baharom Abdul Wahab, iaitu Ketua Penerangan dan Publisiti POKB telah pun bermula sejak dua minggu lalu.

"Tabung ini bertujuan membantu pesakit buah pinggang yang menerima rawatan hemodialisis di HRPZ II seperti meringankan beban tambang pengangkutan ke hospital serta keperluan lain, terutamanya mereka yang datang dari luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri perasmian Program Tautan Kasih-Kami Prihatin HRPZ II yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, di sini hari ini.

Dalam program itu, Mustapa meluangkan masa menyampaikan bantuan kewangan dan sumbangan peralatan perubatan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) yang berjumlah RM70,523.68 kepada 13 pesakit serta royalti Hospimart berjumlah RM111,479 kepada pihak HRPZ II.

Mengulas lanjut, Sheikh Ahmad Dusuki memberitahu, dalam tempoh dua minggu, dana terkumpul untuk Tabung Kasih Buah Pinggang OKB HRPZ II telah pun mencecah RM20,000.

"Wad 6 iaitu wad yang menempatkan pesakit buah pinggang HRPZ II kini mempunyai 19 penghuni dan amat memerlukan kemudahan yang lebih baik.

"Hari ini, Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Seri Zukri Samat yang merupakan ahli kehormat POKB telah memberi sumbangan sebanyak tiga buah alat pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada pesakit Wad 6," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment