My Add

Tuesday 3 June 2014

Kementerian siasat pegawai bocorkan ujian Cadbury

PETALING JAYA, SELASA 03 Jun - Kementerian Kesihatan sedang menyiasat pegawainya yang membocorkan laporan awal ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) babi dalam coklat Cadbury, sebelum ujian makmal kedua sempat dijalankan untuk mengesahkan kandungan itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya berkata, sikap terburu-buru seorang pegawai kementerian membocorkan laporan awal ujian itu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

"Satu kesilapan telah dibuat oleh pegawai kita sendiri, kini kami sedang menjalankan siasatan dalaman. Kalau didapati bersalah, kita akan ambil tindakan terhadap pegawai berkenaan.

"Jakim dan Kementerian Kesihatan membuat ujian makmal mengikut prosedur yang sama dan kementerian mempunyai 15 makmal bagi tujuan itu tetapi ujian produk Cadbury dibuat di makmal di Sungai Buloh sebelum terbocor tanpa pengesahan dalam ujian awal Februari lepas," jelas beliau.

Dr. Hilmi ditemui pemberita selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Kesihatan Antarabangsa ke-22 2014 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini.

Bagaimanapun, beliau menolak unsur sabotaj dalam pembocoran laporan awal ujian itu di laman sosial.

Beliau berkata, sebarang keputusan mengenai status halal atau haram sesuatu produk kelak akan diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).- BERNAMA

No comments:

Post a Comment