My Add

Thursday 19 June 2014

Kenaikan minyak dijangka beri kesan jangka panjang

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

 * MUSTAPA Mohamed melakukan simbolik perasmian eTrade dalam Forum Pengeksport Muda 2014 di Matrade Jalan Duta di Kuala Lumpur, semalam. - utusan/ Aizzul A.Majid
KUALA LUMPUR, RABU 18 Jun, 2014: Kerajaan menjangkakan krisis yang berlaku di Iraq tidak akan menjejaskan ekonomi Malaysia dalam tempoh terdekat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagaimanapun beliau berkata, jika keadaan itu berlarutan, ia akan memberi kesan kepada Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka.

Katanya, kesan kenaikan minyak secara mendadak ini sudah tentu akan mengambil masa tertentu dan negara-negara maju di dunia tidak terkecuali menerima tempiasnya.

"Kita berharap keadaan ini tidak berlarutan dan kalau naik secara mendadak, sudah tentu akan jejaskan penduduk dunia dan Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Pengeksport Muda 2014 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri; Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Noraini Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Wong Lai Sum dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Mohd. Badlisham Ghazali.

Jumaat lalu, harga minyak mentah dunia melonjak kepada AS$107 (RM345.89) setong, susulan meningkatnya krisis Iraq apabila timbul kebimbangan bekalan dari negara pengeluar nombor dua terbesar dunia itu.

Harga minyak meningkat kepada 10 bulan tertinggi selepas kumpulan yang dikaitkan dengan al-Qaeda menawan dua bandar utama Iraq pada minggu lalu termasuk Mosul yang merupakan pintu masuk utama minyak mentah. Bagaimanapun, kumpulan berkenaan berikrar untuk meneruskan penguasaan ke Baghdad.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kementeriannya menyasarkan untuk membantu 25,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menarik pembeli global dan jualan secara atas talian menjelang 2020 menerusi inisiatif eTRADE.

Beliau berkata, menerusi inisiatif tersebut yang dilaksanakan di bawah Digital Malaysia melibatkan kerjasama antara Matrade dan MDeC, dijangka dapat memberi manfaat kepada 2,625 PKS melibatkan urus niaga berjumlah RM50 juta tahun ini.

"PKS yang layak akan menerima baucar elektronik sebanyak RM1,000 bagi membolehkan mereka terlibat dengan program eTRADE," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment