My Add

Thursday 19 June 2014

Minta tetap harga lantai getah

Oleh KHAIRUL NAJIB ASARULAH KHAN

 * ALISAK Ambia (dua dari kanan) beramah-mesra dengan pekebun-pekebun kecil semasa Seminar Pekebun Kecil anjuran PKPKM di Port Dickson, semalam.
TELOK KEMANG, RABU 18 Jun, 2014: Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) menggesa kerajaan agar meneliti cadangan penetapan harga lantai getah serta mewujudkan tabung khas bagi menjaga kebajikan pekebun kecil di sebalik kejatuhan harga getah dunia.

Presidennya, Datuk Aliasak Ambia berkata, tindakan itu wajar dilakukan segera demi melindungi kebajikan pekebun kecil berikutan kejatuhan harga komoditi terbabit.

Katanya, pekebun kecil adalah antara kumpulan penyumbang kepada ekonomi negara, jadi kebajikan mereka seharusnya dijaga bagi mengelakkan golongan ini daripada terus terhimpit ekoran kejatuhan pendapatan mendadak akibat penurunan harga getah antarabangsa.

"Justeru, kita minta kerajaan melaksanakan penetapan harga lantai pada kadar RM5 sekilogram selain mewujudkan sebuah dana khas yang mampu membantu golongan ini ketika kejatuhan harga getah," katanya pada program Seminar Pekebun Kecil anjuran PKPKM dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) negeri di sini hari ini.

Aliasak berkata, inisiatif kerajaan untuk memberikan RM500 secara sekali bayar kepada pekebun kecil tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut.

"Pemberian itu bersifat sementara, sebaliknya apa yang kita mahu adalah satu tindakan yang mampu mengurangkan beban pekebun kecil di sebalik kejatuhan harga getah," katanya.

Mengulas lanjut berhubung cadangan mewujudkan tabung khas, beliau berkata, pelaksanaannya bukan sahaja memudahkan kerajaan dalam menyalurkan bantuan malah mampu merangsang produktiviti pekebun kecil.

"Kita berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan ini sekali gus melaksanakannya segera demi kesejahteraan pekebun kecil di luar bandar," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment