My Add

Thursday 19 June 2014

TPPA: Malaysia paling sukar antara 12 negara perunding

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA, RABU 18 Jun, 2014: Malaysia merupakan negara paling sukar untuk memuktamadkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) berbanding 11 negara perunding yang lain, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana Kuala Lumpur mempunyai pendirian teguh berhubung pelbagai isu termasuk dalam soal perolehan kerajaan, dasar bumiputera, peranan kerajaan serta syarikat milik kerajaan (GLC).

Beliau berkata, walaupun semua negara perunding berdepan cabaran tersendiri untuk memuktamadkan TPPA, tetapi Malaysia dilihat sebagai paling sukar kerana mempertahankan pendirian dalam isu-isu tersebut.

"Amat sukar untuk mengubah pendirian Malaysia berhubung pelbagai isu ini walaupun kita pada masa yang sama mengakui kepentingan akses pasaran yang akan diperoleh melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA).

"Kontroversi dalam TPPA timbul kerana ia mencakupi skop yang lebih luas berbanding FTA yang lain, Malaysia berpendapat bahawa kita perlu pertahankan kepentingan tetapi pada masa yang sama mendapat manfaat perdagangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat mengenai TPPA dan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) kepada kakitangan sektor awam di sini hari ini.

Perundingan TPPA melibatkan 12 negara termasuk Australia, Brunei, Chile, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam telah dimulakan sejak 2010, namun pelbagai isu telah menghalang negara-negara perunding untuk mencapai kata sepakat.

Mustapa berkata, beliau sedar mengenai kebimbangan pelbagai pihak terhadap TPPA termasuk kemungkinan AS sebagai kuasa ekonomi dunia ‘menelan’ negara lain melalui FTA yang mungkin diwujudkan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment