My Add

Saturday 21 June 2014

Keputusan semakan gaji minimum Ogos

MARAN, JUMAAT 20 Jun, 2014: Keputusan semakan semula gaji minimum akan diumumkan selewat-lewatnya Ogos ini dalam usaha memastikan kadar upah sentiasa relevan dan diterima semua pihak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, pada masa ini proses semakan semula gaji minimum giat dilaksanakan dan berada di peringkat akhir.

"Kerajaan memberi peluang dan masa yang cukup kepada majikan serta pekerja untuk memberikan pandangan sehingga Mei lalu dan keputusan semakan semula akan diumumkan oleh Menteri Sumber Manusia selewat-lewatnya Ogos ini," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan cermin mata kepada 53 warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit di Dewan Tasik di sini hari ini.

Pelaksaan gaji minimum yang diluluskan pada 2012 mula berkuatkuasa di seluruh negara pada tahun ini yang menyaksikan penetapan gaji minimum sebanyak RM900 di Semenanjung dan RM800 di Sabah dan Sarawak.

Menurut Ismail, bagi memastikan penetapan tersebut sentiasa diterima baik, kementerian pada dasarnya akan membuat semakan semula pada setiap dua tahun.

Tambahnya, selain mengambil kira pandangan pekerja dan majikan, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Bank Dunia serta juga Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment