My Add

Tuesday 3 June 2014

Kerajaan bakal umum transformasi baharu kepada IKBN

PUTRAJAYA, ISNIN 2 Jun, 2014: Kementerian Belia dan Sukan akan mengumumkan transformasi baharu kepada Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dalam tempoh selewat-lewatnya dua bulan ini bagi memberi nafas baru kepada institusi pendidikan vokasional tersebut.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, transformasi baharu itu akan menyentuh beberapa isu utama termasuk soal kebolehpasaran dan gaji minimum kepada pelatih institusi tersebut.

Beliau berkata, perkara lain yang akan turut disentuh termasuk hubungan IKBN dengan industri dan kemas kini modul seiring keperluan industri.

"Program transformasi ini sudah dirancang enam bulan lalu dan kita telah mengadakan perbincangan secara berperingkat bersama semua pengarah IKBN. Kita dapati masih ada ruang untuk membaiki mutu pengajaran biarpun sudah mencapai tahap 82 peratus, kita sasarkan 90 peratus.

"Sehubungan itu, kita perlu bekerjasama erat dengan bakal majikan pelatih iaitu sektor swasta kerana sebahagian besar program transformasi ini bergantung hubungan antara pihak industri dan IKBN," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvokesyen IKBN ke-10 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh dan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran, Saari Salleh.

Pada majlis tersebut sebanyak 4,678 graduan memperoleh sijil dan diploma.

Sebelum ini, Presiden Alumni IKBN Malaysia, Samsudin Oli Mohamed pernah meminta kerajaan mempertimbangkan rayuan gaji minimum sebanyak RM900 kepada graduan institusi tersebut kerana mempunyai kemahiran bukan sahaja dalam bidang amali malah praktikal serta menjalani praktikal sebagaimana graduan daripada universiti tempatan dan swasta.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pelaksanaan gaji minimum kepada pelatih IKBN hanya dapat dibuat sekiranya mutu dan kualiti pendidikan di institusi itu ditingkatkan sekali gus dapat menarik minat majikan untuk menawarkan gaji yang lebih baik.

Sementara itu, beliau berkata, bermula sesi pengajian pada Julai ini sebahagian besar IKBN di seluruh negara akan memulakan dua sesi pengajian iaitu waktu pagi dan petang.

Katanya, sebanyak 18 daripada 20 IKBN di seluruh negara akan memulakan sesi pengajian dua sesi itu dengan mampu menampung penambahan lebih 4,000 pelajar baharu.

"Buat masa sekarang institusi vokasional tersebut hanya mampu menampung sebanyak 11,160 pelajar di 20 IKBN, namun dengan penambahan kepada dua sesi ini lebih 15,000 pelajar dapat memasuki institusi terbabit menjelang tahun hadapan.

"Selain itu, pada tahun hadapan juga kita akan membuat beberapa penambahbaikan kepada kursus latihan di IKBN dengan menyusun semula kursus yang tidak lagi relevan dengan keperluan industri untuk dirasionalisasikan dan pada masa sama kita akan menambah atau mengurangkan kursus yang tidak mendapat permintaan tinggi," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment