My Add

Tuesday 3 June 2014

Subsidi diesel, petrol guna kad fleet

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

KUALA LUMPUR, ISNIN 02 Jun, 2014: Penggunaan kad fleet bagi penjualan diesel dan petrol bersubsidi antara mekanisme utama yang akan dipertimbangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sebagai bentuk sistem baharu bagi mengawal ketirisan dan kegiatan penyeludupan bahan api itu.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pihaknya bagaimanapun turut meneliti beberapa cadangan lain yang telah dikemukakan pihak-pihak berkepentingan sehingga masalah penyelewengan barang bersubsidi itu berjaya diatasi sepenuhnya.

Menurut beliau, keputusan kajian mekanisme itu akan dibentangkan ke Kabinet dalam masa terdekat dan jemaah menteri akan membuat pengumuman sebelum dilaksanakan mulai September ini.

"Ketika ini semua cadangan sedang dibincangkan dan diperhalusi termasuk penggunaan kad fleet yang akan dikaji terlebih dahulu keberkesanannya kerana terdapat juga beberapa cadangan yang mengelirukan.

"Namun kita akan cuba mencari mekanisme terbaik dan keputusan berhubung perkara itu akan dibentangkan ke Kabinet untuk mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan semalam mengumumkan akan memperkenalkan satu sistem baharu penjualan diesel dan petrol bersubsidi kepada pemilik kenderaan yang layak secara berperingkat-peringkat, mulai 1 September ini sekali gus mampu memberi penjimatan subsidi sebanyak RM9.8 bilion.

Ketika mengumumkan perkara itu, Hasan berkata, pada masa ini, semua rakyat Malaysia layak menggunakan diesel dan petrol bersubsidi kerana kerajaan secara dasarnya tidak menetapkan sebarang syarat berhubung penjualannya, kecuali untuk warga asing atau kegiatan penyeludupan.

Pelaksanaan sistem ini dijadualkan bermula pada 1 September ini untuk kenderaan perdagangan dan 1 Oktober atau 1 November bagi kenderaan persendirian, bergantung kepada persiapan teknikal di stesen-stesen minyak.

Sementara itu Hasan berkata, beliau yakin pelaksanaan sistem baharu tersebut mampu mengekang kegiatan penyeludupan dan penyelewengan bahan api bersubsidi tersebut di samping langkah penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, tugas bersepadu yang melangkaui jabatan dan kementerian merupakan langkah paling berkesan dalam usaha ke arah itu di samping mengehadkan penjualan diesel dan petrol yang akan diperluaskan di semua stesen minyak yang berhampiran sempadan negara jiran seperti Kedah, Perlis dan Johor. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment