My Add

Saturday 14 June 2014

Kerajaan Iraq gagal sekat ISIL

 * ANGGOTA Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) dilihat melepaskan tembakan dalam pertempuran dengan askar di bandar Samarra, Iraq, baru-baru ini. - AFP
BAGHDAD, JUMAAT 13 Jun, 2014: Kerajaan Iraq dilihat tidak mampu menyekat kemaraan militan daripada Kumpulan Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) menuju ke Baghdad apabila mereka menawan beberapa lagi kawasan di wilayah Diyala, timur Iraq selepas pasukan keselamatan meninggalkan pos kawalan masing-masing, ketika Britain meolak menghantar bantuan ketenteraan dalam menangani keadaan tersebut.

Sumber keselamatan berkata, pekan Saadiyah dan Jalawla tumbang ke tangan militan selain beberapa perkampungan di sekitar kawasan pergunungan Himreen yang sebelum ini menjadi lokasi persembunyian kumpulan pemberontak.

Kumpulan bersenjata puak Kurdish mengerahkan lebih ramai anggota untuk mengawal pejabat parti politik di Jalawla sebelum pekan tersebut dikuasai militan, tetapi tiada pertempuran dilaporkan tercetus antara kedua-dua pihak.

Sumber berkenaan berkata, tentera Iraq dekat pekan Muqdadiya melancarkan serangan meriam ke atas dua pekan terbabit, menyebabkan beratus-ratus penduduk melarikan diri ke Khaniqin di sempadan Iran.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan jumlah kematian atau kecederaan dalam serangan terbabit.

Sementara itu, Britain menolak kemungkinan untuk menghantar tentera ke Iraq bagi membantu menghalang kemaraan ISIL yang semakin mengukuhkan kedudukan mereka di wilayah utara negara ini.

Setiausaha Luar Britain, William Hague berkata, kerajaan hanya akan menghantar bantuan kemanusiaan ke Iraq tetapi enggan terlibat dalam hal ketenteraan dan akan terus menyokong sekutunya, Amerika Syarikat (AS) dalam sebarang keputusan yang diambil untuk menangani krisis tersebut.

Beliau turut menolak dakwaan yang mengatakan Britain perlu bertanggungjawab memerangi militan di Iraq kerana pernah bekerjasama dengan AS untuk menggulingkan kerajaan pimpinan Saddam Hussein pada 2003.

"Anda tidak boleh menuduh krisis yang berlaku di Iraq atas tindakan AS-Britain menceroboh negara itu dan kami perlu melakukannya sekali lagi.

"Konflik yang berlaku di Iraq berpunca daripada kesilapan kerajaan negara itu sendiri dan mereka perlu bertanggungjawab ke atasnya," kata Hague kepada rangkaian stesen televisyen BBC. - REUTERS/UTUSAN

No comments:

Post a Comment